'PRN Johor tentukan masa depan, kebajikan rakyat, bukan bebas Najib'
- Akmal Manaf

- Jul 6
- 2 min read

Cubaan mengaitkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai antara mandat rakyat untuk membebaskan Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai naratif tidak logik dan tersasar daripada tujuan sebenar pilihanraya, iaitu menentukan masa depan negeri serta kebajikan rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, pilihanraya bukan referendum bagi mana-mana individu, sebaliknya medan untuk rakyat menilai dasar, prestasi pentadbiran dan hala tuju ekonomi yang mampu memberikan manfaat kepada kehidupan masyarakat secara menyeluruh.
"Kenyataan yang mengaitkan kemenangan besar BN di Johor sebagai isyarat bahawa rakyat mahu Datuk Seri Najib diampunkan, merupakan tidak logik sama sekali.
"Mengheret isu pengampunan individu yang telah melalui proses kehakiman ke dalam kempen pilihanraya adalah sesuatu tindakan yang tidak menghormati kebijaksanaan pengundi Johor.

"Rakyat mengundi kerana mahukan peluang pekerjaan yang lebih baik, kos sara hidup yang terkawal, pendidikan berkualiti, perumahan mampu milik serta pembangunan yang mampan, bukannya untuk menyelesaikan isu peribadi mana-mana pemimpin," katanya kepada dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan anak Najib, Datuk Nazifuddin Najib sebelum ini, yang mendakwa kemenangan BN pada PRN Johor akan menjadi isyarat rakyat terus menyokong mantan Perdana Menteri itu serta berharap beliau diberikan pengampunan diraja.
Mengulas lanjut, Mohammad Fitri menegaskan, Johor berhak mendapat sebuah kerajaan yang memberi tumpuan terhadap pembinaan masa depan negeri dan kesejahteraan generasi muda.
Menurut beliau yang juga Ketua AMK Merbok, pilihanraya tidak seharusnya dijadikan platform untuk menghantar mesej mengenai kepentingan mana-mana tokoh politik.
"Semoga rakyat Johor tidak terpesong dengan naratif yang cuba mengalih perhatian daripada isu sebenar.
"Negara memerlukan politik yang matang, berteraskan integriti, akauntabiliti dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya politik yang menjadikan kepentingan individu sebagai agenda utama," ujarnya lagi.
Terdahulu Nazifuddin dilapor berkata, jika BN menang besar pada PRN Johor kali ini, ia menjadi isyarat bukan sahaja rakyat Johor menyokong parti itu dan kepimpinan negeri, tetapi mereka juga masih sayangkan ‘Bossku’ (Najib) dan mengharapkan beliau dapat bersama semula dengan rakyat.
Bagaimanapun, Nazifuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi mengakui kemenangan BN pada PRN tidak bermakna Najib akan dibebaskan secara automatik.




Comments