top of page

PRN Johor: SPR sasar 70% keluar mengundi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 30 minutes ago
  • 2 min read

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok mampu mencecah sekitar 70 peratus, didorong minat tinggi rakyat untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi.


Pengerusinya Datuk Seri Ramlan Harun berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan sambutan sepanjang tempoh berkempen yang menunjukkan keterujaan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.


"Kita melihat ada kecenderungan, minat mengundi pada kali ini agak tinggi. Dengan kempen yang berterusan, SPR menjangkakan jumlah keluar mengundi boleh mencapai kira-kira 70 peratus," katanya memetik laporan media tempatan.


Terdahulu beliau meninjau proses semakan peti undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian dan Dewan Serbaguna Permas, Kukup hari ini.


Menurut Ramlan, kesedaran rakyat terhadap kepentingan proses pilihan raya menjadi antara faktor dorongan jangkaan peningkatan kadar keluar mengundi selain kerancakan kempen.


"Saya rasa terdapat keseronokan yang tinggi dalam kalangan rakyat sejak akhir-akhir ini dan minat untuk turut terbabit dalam proses ini," katanya.


Seramai kira-kira 2.7 juta pengundi layak mengundi melibatkan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan pengundian bakal dijalankan di 1,076 pusat mengundi melibatkan 4,889 saluran di seluruh negeri.


Proses pengundian akan bermula pada pukul 8 pagi, namun waktu penutupan pusat mengundi berbeza mengikut lokasi.


Pusat mengundi paling awal akan ditutup pada pukul 11 pagi di Pulau Besar, diikuti Pulau Aur dan Pulau Pemanggil pada pukul 12 tengah hari.


Sebanyak 17 pusat mengundi akan ditutup pada pukul 2 petang, 42 pusat pada 4 petang, manakala sebahagian besar pusat mengundi ditutup pada pukul 6 petang.


Dalam pada itu, SPR menggerakkan seramai 43,036 petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.


Sebanyak 24,677 kertas undi pos telah dikeluarkan dan perlu diterima semula sebelum jam 6 petang pada hari pengundian untuk dikira.


Penghantaran peti undi dilakukan dengan Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Pada 7 Julai lalu, seramai 20,607 anggota ATM, PDRM, Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing terlibat mengundi awal di 62 pusat mengundi.


Setakat pukul 3 petang pada hari pengundian awal, seramai 19,136 pengundi atau 92.86 peratus telah menunaikan tanggungjawab mereka.


Untuk rekod, Pakatan Harapan mengharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi terutama dalam kalangan penbundi Cina bagi menentukan sekurang kurangnya gabungan itu memberi saingan sengit kepada BN dan menafikan majoriti 2/3 BN yang diharapkan dicapai dengan mudah.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page