PRN Johor: Sesuaikan strategi komunikasi dengan jiwa Gen Z
- Hasbul Ahmad

- Jun 18
- 1 min read

Mendekati golongan muda, khususnya Generasi Z merupakan satu cabaran dalam strategi kempen KEADILAN pada Pilihan Raya Negeri Johor.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa perubahan corak penggunaan maklumat dalam kalangan Gen Z ini menyebabkan parti politik perlu menyesuaikan strategi komunikasi mereka.
Katanya, golongan muda cenderung mendapatkan maklumat melalui kandungan digital yang ringkas dan pantas berbanding membaca bahan yang panjang seperti generasi terdahulu.
"Anak-anak muda sekarang melihat kandungan dalam tempoh yang sangat singkat.
"Jadi sebagai parti politik yang mahu menang pilihanraya, kita perlu memastikan mesej yang disampaikan jelas, berkesan dan mampu menyentuh hati mereka dalam masa yang singkat," kata Ahli Parlimen Sekijang itu.
Beliau menegaskan cabaran komunikasi politik moden memerlukan parti menghasilkan mesej yang mudah difahami, relevan dan dekat dengan kehidupan rakyat tanpa mengabaikan fakta serta dasar yang ingin diketengahkan.
Justeru, semua faktor tersebut perlu dipertimbangkan secara menyeluruh oleh kepimpinan parti dalam menentukan calon terbaik menjelang PRN Johor, dengan matlamat utama untuk memperoleh mandat rakyat dan membentuk pentadbiran negeri yang lebih baik.
"Pilihanraya bukan sekadar pertandingan. Kita mahu menang kerana kita mahu mentadbir Johor dengan lebih baik dan membawa perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya lagi.




Comments