PRN Johor: Politik kerja atasi politik sentimen - Yuneswaran
- Akmal Manaf

- 1 hour ago
- 1 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi medan ujian penting sama ada pengundi terus terikat dengan sentimen politik lama atau beralih kepada politik berasaskan prestasi, khidmat dan penyelesaian menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata R Yuneswaran (gambar).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN itu berkata, era kemenangan yang bergantung kepada sentimen semata-mata semakin mencabar manakala politik berteraskan kerja, keberhasilan dan penyelesaian kini semakin mendapat tempat dalam landskap politik negeri dan negara.
"Dalam PRN Johor ini, persoalan besar bukan lagi siapa paling lantang bercakap tetapi siapa paling mampu bekerja untuk rakyat, menyelesaikan masalah dan membawa suara rakyat ke tempat yang sepatutnya.
"Rakyat Johor tidak lagi sekadar menjadi penonton politik. Mereka kini menjadi hakim yang menilai berdasarkan prestasi, dasar, kemampuan dan integriti setiap pihak yang menawarkan diri untuk memimpin," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat, rakyat semakin menolak politik kebencian, politik menyalahkan pihak lain serta permainan persepsi yang tidak menawarkan penyelesaian.
Pada masa sama, beliau menyifatkan politik retorik tanpa pelaksanaan semakin hilang nilai dalam penilaian pengundi pada hari ini.
"Pengundi kini semakin mengutamakan calon yang mempunyai orientasi perkhidmatan, mudah diakses, aktif membantu masyarakat serta mampu menjadi jambatan penyelesaian antara rakyat dan kerajaan," kata Yuneswaran yang juga merupakan Timbalan Menteri Perpaduan Negara.




Comments