PRN Johor: Pengumuman calon PH malam ini, medan tempur dibuka
- Noraini Nordin

- Jun 22
- 1 min read

Sorotan PRN Johor: Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai penuh 56 calon gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada malam ini.
Majlis pengumuman itu akan berlangsung pada jam 8.00 malam di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Muar.
Selain Anwar, barisan kepimpinan tertinggi PH, antaranya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu juga dijadual hadir.
Selain pimpinan kanan ketiga-tiga parti, dianggarkan lebih 5,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) dijangka hadir memeriahkan majlis.
Majlis pengumuman calon malam ini adalah langkah pertama PH untuk menunjukkan keseriusan dan komitmen untuk memenangi PRN Johor yang pengundiannya akan berlangsung pada 11 Julai nanti.
"Lawan Sampai Menang"
Selain nama-nama calon akan diumumkan yang bermakna gelanggang pertandingan sudah sedia menyaksikan perlawanan, malam ini juga merupakan medan untuk PH mempamerkan kekuatan jentera yang sedia bertempur dengan semangat “Lawan Tetap Lawan” dan “Lawan Sampai Menang”.
Di samping mengumumkan calon dan menyerahkan watikah, Anwar juga pastinya akan menyampaikan amanat yang bertujuan membakar semangat jentera parti agar berjuang habis-habisan untuk beroleh kemenangan.
Menerusi hantaran di media sosialnya semalam, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, Johor berhak mendapat kepimpinan yang berintegriti, berwibawa dan bekerja keras demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Kata-kata itu dengan sendirinya memberi gambaran bahawa PH ingin menang dan menerajui kepimpinan negeri Johor dalam PRN yang pengundiannya diadakan pada 11 Julai akan datang.




Comments