PRN Johor pengajaran, PH semak semula pendekatan - Amirudin
- Suara Keadilan

- Jul 14
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) bakal mengadakan sesi post-mortem bagi meneliti dapatan daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata proses penilaian itu sekali gus membolehkan gabungan berkenaan menyemak semula pendekatan serta memperkukuh strategi bagi menghadapi pilihanraya akan datang.
"Selepas post-mortem, kita akan melihat beberapa dapatan penting berkaitan keputusan pilihan raya.
"Sudah tentu kita akan menyemak semula beberapa pendekatan dan memperkukuh strategi supaya kita dapat mencapai keputusan yang lebih baik pada pilihan raya akan datang," katanya dipetik laporan media tempatan.
Amirudin sebelum ini memaklumkan kepada media pihaknya akan mengenal pasti kelemahan, meneliti isu yang timbul.
Ia termasuk meneliti keputusan mengikut setiap saluran mengundi dan lokaliti bagi mengenal pasti perubahan pola sokongan pada PRN Johor.
Sementara itu sebagai mengulas keputusan Sabtu lalu, Amirudin berkata keputusan itu wajar dijadikan peringatan kepada seluruh kepimpinan dan jentera parti untuk terus memperkukuh kerjasama serta meningkatkan gerak kerja.
"Ia menjadi peringatan kepada kita. Sudah tentu kita perlu bekerja lebih keras dan semua pihak perlu bekerja bersama bagi memastikan kita dapat memenangi serta mempertahankan Negeri Sembilan," katanya.




Comments