PRN Johor pengajaran buat PH, kukuhkan organisasi, komunikasi – Dr Suhaimi
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru baru ini wajar dijadikan pengajaran penting kepada Paktan Harapan (PH) untuk memperkukuh organisasi, memperbaiki komunikasi serta membina semula keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim, walaupun keputusan PRN tidak memihak kepada PH, gabungan itu perlu menerimanya dengan hati terbuka dan menjadikannya sebagai ruang untuk bermuhasabah.
"Sudah tentu keputusan yang diperoleh bukanlah seperti yang kita harapkan. Tiada siapa yang turun ke gelanggang untuk kalah. Namun, demokrasi menuntut kita menerima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka dan jiwa yang besar," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memetik ungkapan pejuang demokrasi Afrika Selatan, Nelson Mandela:
"I never lose. I either win or learn."
Dalam pada itu, Suhaimi berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau menyaksikan sendiri komitmen tinggi jentera PH yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit demi memastikan mesej perjuangan sampai kepada rakyat.
"Ada yang mengambil cuti, menggunakan wang sendiri, meninggalkan keluarga, tidur hanya beberapa jam sehari dan sanggup berpanas serta berhujan demi memastikan mesej perjuangan sampai kepada rakyat. Pengorbanan seperti ini tidak boleh diukur hanya melalui jumlah kerusi yang dimenangi," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui PH perlu berani melakukan penilaian semula terhadap pendekatan yang digunakan, khususnya dalam aspek komunikasi dengan rakyat.
Menurutnya, pengalaman di Johor menunjukkan naratif sering mengatasi fakta, menyebabkan dasar dan rekod pentadbiran Kerajaan MADANI yang baik gagal diterjemahkan kepada sokongan pengundi.
"Saya melihat sendiri bagaimana naratif sering mengatasi fakta. Dasar yang baik tidak semestinya diterima jika gagal difahami. Rekod pentadbiran yang baik juga tidak semestinya dihargai jika tenggelam dalam lautan persepsi," katanya.
Beliau berkata, hubungan dengan rakyat tidak boleh hanya diperkukuh ketika musim pilihanraya, sebaliknya perlu dibina secara konsisten sepanjang tempoh lima tahun melalui kehadiran dan khidmat kepada masyarakat.
"PRN Johor turut mengajar bahawa kekuatan sesebuah parti bukan diukur ketika musim pilihan raya semata-mata. Hubungan dengan rakyat dibina setiap hari, sepanjang lima tahun, melalui kehadiran ketika mereka diuji, kesediaan mendengar masalah mereka dan kesungguhan membantu tanpa mengharapkan balasan," katanya.
Suhaimi turut menggesa KEADILAN memperkukuhkan organisasi parti, melahirkan lebih ramai pemimpin muda serta memperluaskan pendekatan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik.
Beliau menegaskan usaha membina semula kepercayaan rakyat memerlukan kesabaran dan tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat.
"Kita perlu menerima hakikat bahawa membina kepercayaan rakyat adalah proses yang panjang. Tiada kemenangan yang lahir tanpa kesabaran, dan tiada perjuangan yang berjaya tanpa pengorbanan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera PH dari Johor dan seluruh negara yang membantu sepanjang kempen, sambil menegaskan perjuangan reformasi akan diteruskan.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengingatkan bahawa perjuangan reformasi bukanlah perlumbaan pecut, tetapi satu perjalanan yang menuntut kesabaran, keikhlasan dan istiqamah. Kata-kata itu amat bertepatan dengan keadaan yang kita hadapi hari ini
"PRN Johor bukan noktah kepada perjuangan kita. Ia hanyalah satu bab dalam sebuah perjalanan yang lebih panjang menuju PRU16.
"Kita akan bangkit dengan lebih tersusun, mendengar dengan lebih teliti, bekerja dengan lebih kuat dan kembali mendapatkan mandat rakyat dengan lebih merendah diri," katanya lagi.




Comments