top of page

PRN Johor: Pas utamakan percaturan kuasa, bukan agenda pembangunan negeri

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa pendirian dan percaturan politik Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik, sekali gus menjejaskan usaha pembangunan negeri.


Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kenyataan pimpinan Pas mutakhir ini menunjukkan parti itu lebih mengutamakan percaturan kuasa berbanding menyediakan agenda pembangunan yang jelas untuk Johor.


Beliau berkata, kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang semalam bahawa matlamat parti itu adalah memastikan Johor diterajui oleh orang Melayu Islam dilihat memainkan sentimen, sedangkan keutamaan rakyat ialah pembangunan dan kemajuan negeri.


"Kenyataan Presiden Pas bahawa matlamat Pas dalam PRN Johor adalah untuk memastikan Johor diterajui oleh orang Melayu Islam menunjukkan parti itu sekali lagi bermain dengan sentimen sedangkan keperluan rakyat Johor adalah memastikan pembangunan yang berterusan di negeri Johor," katanya dalam kenyataan hari ini.


Faiz juga mendakwa kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini yang menggesa ahli Pas mengundi Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) memberi gambaran bahawa parti itu sedang mengatur kedudukan politiknya dalam Kerajaan Negeri sekiranya BN menang.


"Isyarat ini menunjukkan konflik halatuju dalam Pas dan ia sangat bahaya kepada rakyat Johor kerana bakal mewujudkan ketidakstabilan dalam pentadbiran Johor (kerana memburu jawatan)," katanya.


Menurut beliau, Pas sebelum ini dikaitkan dengan episod ketidakstabilan politik negara termasuk peranan pentingnya dalam Langkah Sheraton, selain mendakwa hubungan parti itu dengan Bersatu dalam PN kini semakin tidak menentu.


"Ironinya, Pas mengumumkan juga untuk tidak membantu Bersatu dalam PRN Johor. Ini bermakna Pas bersama Bersatu di siang hari, tetapi bersama UMNO pula di waktu malam," sinis Faiz.


Dalam pada itu, Faiz turut merujuk kenyataan bekas Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyifatkan undi masyarakat Cina dalam pilihanraya penting bagi menghalang Pas menawan Putrajaya sebagai petunjuk kebimbangan terhadap pendekatan politik parti tersebut.


Beliau berkata, ketidakstabilan politik boleh menjejaskan pentadbiran dan pembangunan sesebuah negeri, sambil mengambil contoh pengalaman parti Five Star Movement di Itali yang menurutnya mengalami kemerosotan sokongan selepas berdepan pertukaran gabungan dan krisis dalaman.


Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Johor memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri bagi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan.


"Dalam keadaan rakyat Johor memerlukan pembangunan berterusan, peluang kepada PH untuk mentadbir Johor perlu diberikan oleh rakyat Johor dalam PRN kali ini. Ini adalah kerana pembangunan yang mampan bergantung kepada kestabilan politik. Hakikatnya, PH telah membuktikan kemampuan mengekalkan kestabilan dalam politik dan pentadbiran negara," katanya.


Beliau berkata, komitmen Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Johor dapat dilihat menerusi peruntukan hampir RM15 bilion untuk projek mega seperti Landasan Berkembar Elektrik Johor Bharu-Gemas, Perkhidmatan Shuttle Selatan dan RTS Link. Ini tidak lagi termasuk projek-projek lain seperti Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) yang telah diluluskan oleh Kerajaan Madani dan dijangka menelan kos RM10 bilion.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page