Undi 18 dilaksanakan bermula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Namun menurut calon KEADILAN DUN Pemanis, Yoong Tau, masih banyak anak muda berumur 18 tahun yang tidak tahu mereka layak mengundi secara automatik.
Katanya, ramai yang menyangka apabila genap umur 18 tahun mereka perlu mendaftar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum dibenar mengundi.
"Di sini saya mahu beritahu orang muda umur lebih 18 tahun, kerana kami dapati ramai masih tak tahu mereka layak mengundi pada PRN Johor.
"Mereka masih ingat macam dulu, perlu mendaftar sebelum layak mengundi. Saya ingin beritahu cuba semak nama anda di laman web SPR dan mereka akan tahu layak mengundi.
"Ada pengundi tak tau mereka telah layak mengundi. Ini sangat penting sebab itu saya sampaikan mesej. Semak sahaja (di laman SPR) atau pada hari mengundi terus pergi pusat mengundi dan tanya," katanya dalam sidang media, semalam.
Menurut Yoong Tau lagi, melalui kelayakan mengundi secara automatik, seseorang hanya perlu melepasi tarikh lahir pada usia 18 tahun dan menunggu sebulan kemudian untuk datanya disahkan sebagai pengundi berdaftar.
Selain itu, beliau juga mendedahkan terdapat beberapa nama pengundi yang telah mengundi sejak sekian lama di DUN Pemanis tetapi kali ini ditukarkan ke DUN lain.
Beliau membantah sikap SPR yang menukarkan pengundi sesuka hati tanpa permintaan dari para pengundi itu sendiri
"Ada pengundi mengadu kepada kita tempat mengundi telah ditukar oleh SPR dan mereka tidak tahu.
"Terdapat satu keluarga bila kita semak, anaknya mengundi di Pemanis tetapi kita dapati ibu bapanya telah ditukar ke DUN lain," katanya.
Tegas Yoong Tau, tindakan SPR itu menyusahkan pengundi yang terpaksa ke pejabat pos atau mengisi borang rayuan kepada SPR pada masa hadapan untuk kembali mengundi di DUN Pemanis.
Dalam sidang media itu juga, pasukan kempen Yoong Tau membacakan manifesto 8 perkaras bagi DUN Pemanis, iaitu : Menceriakan bandar Segamat serta menjadikan Segamat satu destinasi pelancongan; Membantu pembangunan usahawan kecil dan sederhana; Mewujudkan peluang pekerjaan agar anak muda kembali menyumbang kepada pembangunan tempatan di Segamat; Menubuhkan pasukan kebajikan DUN Pemanis khususnya golongan daif; Menaiktaraf insfrastruktur asas dan memperbaiki sistem perparitan atasi isu banjir; Penggunaan peruntukan kawasan secara terbuka dan telus; Mendorong pembinaan rumah mampu milik; Membawa manfaat kepada pembeli kali pertama dan Mempertahankan hak peneroma serta rumah generasi kedua bagi anak anak peneroka Felda.
Comments