top of page

PRN Johor: Kempen secara sopan, jangan lupa daratan - PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 1 min read
DS Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil, Sepang. Foto: PMO
DS Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil, Sepang. Foto: PMO

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan setiap parti yang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor agar dapat mengekalkan kempen yang sopan dan tidak melampaui batas ketika pertembungan dijangka sengit melibatkan banyak penjuru.


Perdana Menteri berkata kehadiran ramai calon dalam satu-satu kawasan pilihanraya merupakan lumrah amalan demokrasi.


"Tiga ke enam (penjuru) itu lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen itu sopan, jaga akhlak dan jangan lupa daratan," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil, Sepang hari ini.


Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengingatkan jentera parti tersebut agar mengutamakan soal prestasi yang dicapai sepanjang menerajui tampuk pentadbiran negara.


Beliau turut menasihatkan agar kempen dilakukan secara sederhana tanpa melakukan serangan terhadap individu tertentu.


"Kita bagi PH..cuba tunjukkan prestasi, jangan tunjuk sombong..tolak orang itu...


"Kerjasama...Malaysia sudah begini rupa (masyarakat berbilang kaum)... ambil sikap sederhana, santuni sebanyak mungkin masyarakat kita," ujar beliau.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.


Proses penamaan calon PRN Johor dijadualkan berlangsung bermula 9 hingga 10 pagi esok di 56 pusat penamaan calon (PPC) sebelum pengumuman rasmi calon yang layak bertanding dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.


Dilaporkan, sebanyak 593 borang pencalonan bagi PRN Johor terjual setakat ini, namun hanya 133 bakal calon mengesahkan penyertaan mereka dengan menjelaskan bayaran deposit.


Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun dipetik sebagai berkata, jumlah itu bagaimanapun dijangka terus meningkat memandangkan bakal calon masih mempunyai tempoh sehingga proses penamaan bermula pagi esok untuk melengkapkan urusan berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page