PRN Johor: Di sebalik pengundi positif, ramai pertikai SOP kempen melampau
- Suara Keadilan
- Feb 28, 2022
- 2 min read

Pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memberi sambutan positif terhadap kempen KEADILAN yang bermula pada Sabtu lalu.
Beberapa pemimpin yang ditinjau Suara Keadilan semalam di DUN Kempas mengharapkan mood positif tersebut kekal sehingga hari mengundi dan diterjemahkan kepada kemenangan
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse, beberapa kawasan yang beliau kunjungi kelihatan kuatnya penolakan rakyat kepada PRN yang dipaksakan dan mereka mahu berubah.
"Kali ini saya jadi politic operator, pergi sana sini. Daripada tinjauan saya memang nampak positif. Semalam saya sehari di Segamat, di Buluh Kasap. Memang ramai rakyat yang keluar dan mereka kata akan undi KEADILAN kali ini.

"Pagi ini saya di Bukit Batu, reaksi yang sangat baik. Petang ini dengan Puan Napsiah, calon Kempas. Juga disambut baik oleh rakyat," katanya ketika mengiringi kempen calon DUN Kempas, Napsiah Khamis berkempen sambil 'menjamu selera' di Medan Selera Angsana.
Bagaimanapun, aktivis KEADILAN Pahang yang juga seroang peguam, Ahmad Nizam Hamid berkata, Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang di tetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kali ini akan mematikan demokrasi kerana tidak banyak bezanya dengan di PRN Melaka.
"Saya diberitahu kawan kawan taklimat SPR semalam contohnya, boleh buat walkabout tetapi tak boleh nak bercakap. Calon tak boleh bercakap dengan pengundi. Kemudian tak edar risalah.
"Dengan segala sekatan, akses media kamu tak beri kepada calon pembangkang maka kita pergi ke kawasan ramai orang. Kamu benar pergi pasar malam tetapi tak boleh bercakap? Saya diberitahu calon tak boleh pakai baju lambang parti. SOP ini macam di Melaka," katanya.

Nizam jelas kesal kerana di kawasan Kempas itu juga diadakan konsert yang tidak pula dipersoalkan akan menjadi punca kluster baharu Covid 19 berbanding kempen beberapa minit calon kepada pengundi.
"Saya fikir kalau nak buat SOP mesti berdasarkan kepada data dan sains. Saya sendiri tak dengar ada kluster PRN Melaka, jadi kita patut belajar daripada Melaka, buat kelonggaran. Kalau tidak ia jadi tempang.
"Kita pembangkang diikat kaki tangan, ditutup mulut. Jadi saya fikir Covid ini diperguna untuk mengekang rakyat membuat pilihan. Sebab kempen 2 minggu ini, katalah Puteri Wangsa, satu DUN 200,000 pengundi. DUN Kempas dalam 64,000 pengundi sama banyak dengan Parlimen Temerloh.
"Bila kuatkuasakan SOP dengan keterlaluan, ertinya mereka bukan nak mudahkan pesta demokrasi, mereka nak menyempitkan atas alasan Covid," katanya.
Manakala Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, S Thiban pula mengharapkan rakyat Johor yang muak dengan percaturan politik antara BN dan PN akan mengundi KEADILAN dan Pakatan Harapan untuk pentadbiran negeri yang lebih baik pada kali ini.

"Semalam saya di Buloh Kasap kemudian di Pemanis. Saya pergi ke Simpang Renggam dan Layang Layang.
"Di Kempas saya berkunjung ke tiga kawasan. Penerimaan warga Johor kepada KEADILAN baik, ramai yang ingin perubahan.
"Ramai marah dengan PRN. Mereka kata tiada keperluan diadakan PRN kerana perebutan kuasa BN dan PN. Juga Najib serang Muhyiddin menyebabkan pengundi tertanya di waktu kes Covid melonjak mereka sibuk berpolitik.
"Ada pengundi yang melihat billboard Muhyiddin semalam dia kata (kepada saya) sayang Johor, tetapi PRN ini dibuat kerana kerakusan kuasa kerana golongan elit," katanya.
Meskipun mantan Naib Presdien KEADILAN, Nurul Izzah Anwar turut membantu kempen sehinga ke Kempas semalam, namun tidak banyak yang boleh dilakukan kerana peraturan tidak membenarkan calon atau pemimpin bercakap dengan pengundi.
Kempen walkabout dilakukan dengan memberi senyuman kepada pengundi, makan di restoran dan bersiar siar. Tiada pemberian risalah atau rayuan untuk mengundi calon yang diperkenalkan boleh dilakukan sebagaimana dalam pilihan raya sebelum Covid 19.
Commentaires