Calon perlu bersih, tolak penjenayah rasuah



Oleh: Atriza Umar


Tidak kira parti apa pun, rakyat perlu bijak memilih berdasarkan latar belakang kepimpinan yang paling utama selain calon yang bertanding itu dikenalpasti mempunyai rekod yang bersih, tidak terlibat jenayah, kluster mahkamah, apalagi rasuah.


Parti yang bertanding sewajarnya mendedahkan profil calon bagi meraih kepercayaan dan undi daripada rakyat. Barangkali, tidak cukup dengan meletakkan kerjaya atau pengajian terakhir, tetapi lebih lengkap daripada itu berupa penglibatan calon dalam apa-apa aktivitinya sebelum ini.


Hal ini adalah soal integriti yang perlu diketahui rakyat sebelum memilih, agar tiada penyesalan di kemudian hari.


Kemampuan calon


Bukan itu sahaja, rakyat perlu tahu sejauh mana kemampuan calon untuk berkhidmat dengan mengemukakan aset yang dimiliki.

Bayangkan seorang calon itu sebelum menjadi Yang Berhormat (YB) iaitu wakil rakyat, apabila ia menjadi YB dengan tiba-tiba segala kemewahannya muncul. Dari manakah segala itu didapatkan?


Adalah lebih harmoni jika sedikit sebanyak mengenai asetnya diketahui ketika sebelum menjadi calon lagi. Jangan nanti, apabila sudah jadi YB, kekayaan secara drastik itu menjejaskan imej atau kreadibilitinya hingga terpalit dengan isu jenayah rasuah.


Apalagi, kepercayaan rakyat akan terhakis berikutan isu-isu yang timbul.


Parti-parti yang bertanding seperti Barisan Nasional (BN), Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Malaysian Indian Congress (MIC), Parti Islam Se-Malaysia (PIS), Democratic Action Party (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Malaysian Chinese Association (MCA), Malaysian United Democratic Alliance (Muda) dan lainnya meletakkan calon-calon pada kerusi yang dipertandingkan, perlulah peka dan bijaksana bagi mengelakkan tercalarnya imej parti mereka dek kerana salah memilih calon.


Retorik atau realiti


Masihkah kita ingat ikrar sebuah parti menjelang PRU-14 lalu?


Pada 6 Mei 2017 lalu, Barisan Nasional (BN) telah memberikan jaminan tidak akan meletakkan calon yang mempunyai latar belakang tidak bersih dan terbabit rasuah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Sebagaimana kata Setiausaha Agung parti itu pada waktu itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; “BN sudah menjadikan amalan memeriksa latar belakang calonnya sejak sekian lama dan tidak akan mengizinkan mana-mana individu yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.”


Selain itu katanya, calon BN diwajibkan mengisytiharkan aset mereka jika mahu jadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen.


Maka, seharusnya pada setiap kali pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya umum (PRU), dikuatkuasakan ‘piagam’ sebegitu. Adakah perjanjian sebegitu, dilaksanakan setiap kali menjelangnya pesta demokrasi negara atau sekadar retorik?


Dalam pada itu, setiap parti politik perlu memahami segala kesalahan pilihan raya, khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya berunsur rasuah dan salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.


Mantan PM kata ‘Tolak Korupsi’?


Sebagaimana dilaporkan media Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin 7 Februari, berkata, rakyat Johor perlu bijak menilai dan tidak mengundi mereka yang terlibat dengan skandal dan rasuah.


Maka, rakyat Johor sepatutnya bertindak bijak dan rasional menolak calon mahupun parti yang jelas-jelas melakukan jenayah rasuah.


Selain itu, bagi mengelakkan berulangnya tragedi lalu, pilihlah parti dan calon yang berusaha mengembalikan Malaysia ke arah yang lebih baik, bukan yang telah membuat onar apalagi menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui pilihan raya yang sah pada 2018 lalu.


Seperti di Johor, parti manakah yang menjatuhkan parti yang ‘berkuasa’ sebelum ini, hingga terbubarnya kerajaan negeri, dan terpaksa mengadakan PRN?


Kerana habuan menjadi ‘katak lompat’


Melihat kepada situasi lompat parti yang sering terjadi, calon-calon yang bertanding juga hendaklah membuat akujanji terhadap parti yang diwakilinya. Jika tidak, perkara yang sama seperti Langkah Sheraton dan yang seumpamanya, tidak mustahil akan berulang lagi.


Dalam satu sisi rasional yang dapat dirumuskan, jika keadaan seperti itu terus dibiarkan, malapetaka yang menimpa ketika berlakunya wakil rakyat menjadi ‘katak lompat’ kepada parti yang lain, yang terjejas dan rugi adalah rakyat.


Apa tidaknya, rakyat memilih seseorang itu menjadi calon untuk sesuatu parti, apabila sudah jadi YB melompat pula.

Walaupun ada kemungkinan akan membuatkan berlakunya pilihan raya atau tidak, ia tetap satu kerugian dan kekecewaan bagi rakyat.


Hakikat yang paling sadis untuk diterima ialah jika wakil rakyat itu menerima sesuatu habuan hingga menyebabkan mereka sanggup lompat parti. Secara jelasnya, ia berkaitan integriti dan juga prinsip.


Terdahulu, Kerajaan Kelantan pernah meluluskan pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan anti lompat ini pada 25 April 1991.


Akan tetapi, pada tahun 1992 undang-undang itu telah dicabar di mahkamah dan akhirnya diputuskan bahawa undang-undang itu tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan ia dibatalkan.


Pun begitu, selain Kelantan, Sabah dan Pulau Pinang turut ada undang-undang ‘anti-lompat’ dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri mereka, namun ia tidak dapat dilaksanakan atas sebab yang sama dan antara alasan yang diberikan ialah dengan menghalang seseorang wakil rakyat itu melompat parti maka ia menyekat hak kebebasan rakyat Malaysia untuk memilih parti yang diingininya.


Perkara ini perlu diperincikan lebih mendalam lagi supaya ia tidak menjadi ‘tradisi’ dan menyusahkan banyak pihak terutamanya, rakyat.


Hapuskan politik wang


Hakikatnya, jika golongan terbabit rasuah dipilih sebagai pemimpin, tentunya negara akan tergugat dan menyebabkan kerosakan yang sangat dahsyat. Implikasinya bukan sahaja kepada negara, tetapi rakyat yang terkena badai buruknya.


Tidak terkecuali, para pengundi hendaklah menyedari dan peka dengan konsep jenayah rasuah ini. Mereka perlu berhenti mengharapkan atau menerima wang daripada calon yang bertanding, di samping calon itu sendiri perlu menokhtahkan perbuatan memberi duit bagi meraih atau menawan hati pengundi.


Rakyat perlulah tegas bersama-sama memutuskan rantaian budaya rasuah ini daripada terus berleluasa sebagaimana yang diperjuangkan Pasukan Rasuah Busters.


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Felo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).


0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER