top of page

PRN Johor bukan referendum kes mahkamah

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Ketua Penerangan KEADILAN Batu Pahat, Muhammad Aisamuddin Ismail (gambar) berkata, kenyataan Nazifuddin, anak kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang baru baru ini mengaitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan kebebasan bekas PM itu amat mengelirukan rakyat.


Aisamuddin berkata, kenyataan sedemikian cuba memesongkan fokus pilihanraya daripada isu sebenar yang sepatutnya menjadi keutamaan pengundi Johor.


"PRN Johor bukan referendum untuk menentukan nasib mana-mana individu yang sedang berdepan proses perundangan.


"Rakyat keluar mengundi untuk memilih kerajaan negeri yang mampu mentadbir dengan baik, bukannya bagi menentukan perjalanan sesuatu kes di mahkamah," katanya.


Menurut Muhammad Aisamuddin, pembubaran Dewan Undangan Negeri sepatutnya dilakukan demi kepentingan rakyat dan kestabilan pentadbiran negeri, bukannya memberi persepsi bahawa pilihanraya diadakan untuk memenuhi agenda politik individu tertentu.


"Rakyat Johor dipanggil mengundi kerana DUN dibubarkan. Maka kempen sewajarnya berkisar kepada penyelesaian isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan, pendidikan dan kebajikan rakyat.


"Bukannya cuba membawa naratif bahawa kemenangan BN akan membawa kepada pembebasan seseorang," katanya.


Beliau turut mempersoalkan kewajaran rakyat Johor sekali lagi turun mengundi sekiranya naratif yang dibawa lebih tertumpu kepada kepentingan politik yang dikaitkan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berbanding keperluan rakyat.


"Rakyat berhak bertanya, adakah pembubaran DUN ini benar-benar untuk kepentingan Johor atau sekadar memenuhi percaturan politik pihak tertentu?


"Pengorbanan masa, tenaga dan wang rakyat untuk keluar mengundi tidak seharusnya dijadikan alat bagi mengejar kepentingan mana-mana individu," katanya.


Aisamuddin berkata, pengundi Johor perlu membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran, dasar serta tawaran kepada rakyat, bukannya dipengaruhi sentimen yang mengaitkan keputusan PRN dengan perjalanan proses kehakiman.


"Biarlah mahkamah menjalankan tugasnya secara bebas mengikut lunas undang-undang. PRN Johor pula perlu kekal sebagai medan rakyat memilih masa depan negeri berdasarkan dasar, integriti dan kemampuan mentadbir.


"Jangan heret pengundi Johor kepada naratif yang tak ada kaitan dengan mandat yang ingin mereka berikan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page