Kemelut politik Johor yang bergelora selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian dan menjadikan Kerajaan BN - PN bertahan dengan majoriti 1 kerusi memungkinkan Menteri Besar Johor membubarkan DUN bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut
Namun bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, PRN mengejut bukanlah jawapan kepada perkembangan politik negeri di Selatan tanah air itu.
Katanya, lebih baik BN berusaha membangunkan kembali kehidupan rkayat yang terjejas ekonomi akibat pendemik Covid 19 dan banjir baru baru ini berbanding mencuba untuk kekal berkuasa sehingga 5 tahun akan datang.
"Dengan majoriti tipis 1 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan ketidaktentuan sokongan ADUN Bersatu atau mungkin Pas kepada kerajaan yang diterajui Umno, mungkin inilah jalan keluar untuk mendapat kembali kuasa dengan kedudukan lebih selesa untuk 5 tahun akan datang.
"Soalnya, apakah ini yang rakyat mahukan? Apakah ini memberi manfaat kepada rakyat terutama yang susah? Apakah dengan adanya pilihan raya maka selesai masalah rakyat? Tentu jawapannya tidak.
"Biarlah prinsip dan alasan mengadakan PRN berasas. Nasihat saya janganlah fikir tembolok dan luas kuasa semata-mata," katanya kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau lagi, BN Johor tidak perlu mengikuti perkembangan politik Melaka yang mengadakan PRN pada tahun lalu kerana senarionya tidak sama.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ledang itu tetap mengingatkan Pakatan Harapan Johor agar berhati hati terhadap perkembangan semasa dan kemungkinan berlaku sesuatu yang di luar jangka.
Beliau membayangkan usaha perlu digandakan mendekati rakyat kerana sekiranya PRN diadakan maka Prosedur Operasi Piawai (SOP) akan sama ketatnya sebagaimana di Melaka dan Sarawak.
"Pada pendapat saya, selain faktor dalaman PH, faktor penetapan SOP yang ketat memberi kelebihan kepada Umno BN yang membawa kemenangan di PRN Melaka.
"Dan mereka sedar ini juga boleh menatijahkan perkara sama di Johor," ujarnya.
Selain itu, Syed Ibrahim turut mahukan persepsi rakyat terhadap PH diubah kerana sejak pengkhianatan Langkah Sheraton pada Februari 2020 lalu tanggapan rakyat terhadap politik amat negatif.
"Pengkhianatan berlaku sehingga PH tumbang. Politik kuasa merampas politik suara rakyat melalui pilihan raya. Politik bangsawan terserlah dalam bencana Covid 19 dengan apa yang disebut 'antara dua darjat'.
"Ringkasnya, tanggapan rakyat terhadap politik sama ada parti, ahli politik atau pilihan raya amat buruk (dalam dua tahun kebelakangan ini)," katanya lagi.
Semalam, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat menafikan spekulasi DUN Johor akan dibubarkan pada 15 Januari ini dan PRN mengejut akan diadakan.
Katanya, penggal pemerintahan Johor masih berbaki setahun dan tidak perlu PRN diadakan awal meskipun hanya bertahan dengan 1 kerusi majoriti kerana sebelum ini pun BN bertahan dengan majoriti tipis
Comments