PRN: "Jangan kait adat, institusi raja, bukan bidang kuasa parti politik"
- Helmi Mohd Foad
- 5 hours ago
- 2 min read

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu adat dan institusi Raja-Raja Melayu sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Beliau berkata perkara yang membabitkan adat dan institusi diraja bukan berada di bawah bidang kuasa parti politik sebaliknya tertakluk kepada kuasa raja serta adat setempat.
"Jangan kaitkan adat dan institusi raja dalam pilihan raya kali ini. Kita perlu elakkan perkara itu.
"Itu bukan bidang kuasa pimpinan parti politik. Ia di bawah adat dan juga Raja-Raja, maka kita tidak boleh campur tangan," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada isu berkaitan adat di Negeri Sembilan mampu mempengaruhi sokongan pengundi pada PRN kali ini.
Menurut Aminuddin, walaupun terdapat segelintir pihak yang cuba menjadikan isu tersebut sebagai polemik politik, majoriti rakyat lebih mementingkan kestabilan kerajaan dan pembangunan negeri.
"Mungkin ada sedikit yang terkesan, tetapi lebih ramai yang tidak terkait dengan isu itu.
"Masyarakat di luar mungkin menganggap perkara itu isu paling besar, tetapi saya yakin rakyat lebih mengutamakan kestabilan kerajaan dan masa depan negeri," katanya.
Beliau berkata sepanjang mentadbir Negeri Sembilan, kerajaan negeri berjaya mengekalkan pembangunan yang baik selain memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan serta memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum.
"Kita boleh banggakan pembangunan negeri, pembangunan modal insan dan yang paling penting ialah perpaduan masyarakat majmuk tanpa mengira kaum.
"Itulah kekuatan Negeri Sembilan yang perlu terus dipertahankan," katanya.
Sehubungan itu, Aminuddin berharap kempen PRN kali ini berlangsung secara matang tanpa mengeksploitasi isu adat atau institusi diraja demi kepentingan politik.
"Biarlah perkara berkaitan adat diputuskan mengikut saluran dan bidang kuasa yang sewajarnya, bukannya dijadikan modal politik," katanya.
Dalam pada itu, beliau menolak persepsi yang dimainkan segelintir pihak mendakwa beliau bertanding di Linggi disebabkan krisis adat di Sungai Ujong.
"Perkara itu tidak timbul kerana kalau ikutkan Port Dickson dan Seremban ini adalah kawasan di bawah Sungai Ujong.
"Kalau hendak senang saya bertanding di Kuala Pilah, tapi itu bukan isu dia.
"Jadi kalau ada perkatan-perkata begitu itu suatu yang dangkal, cuba membuat satu persepsi buruk...saya rasa jangan kaitkan adat, raja dalam pilihan raya kali ini," katanya lagi.
