
Pakatan Harapan (PH) akan fokus untuk mempertahankan 3 negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Hal itu dinyatakan oleh Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail usai mesyuarat Majlis Presiden PH petang tadi
"Mesyuarat hari ini memberi pengarahan tentang hal yang perlu kerjanya dari sekarang, dengan membentuk segera atau aktifkan Jawatankuasa Pilihanraya PH, dengan ditubuh jawatankuasa semua wakil dengan tugasan senarai semak yang jelas.
"Paling penting adalah fokus mempertahankan 3 negeri milik PH yang umumnya pimpinan utama PH meletakkan keyakinan yang tinggi berasaskan laporan semasa, dan tekad menghantar suara pembangkang yang kuat walaupun tidak sampai mengambil alih Kelantan dan Terengganu.
"Kami (juga) berpendapat bahawa peluang PH tetap seimbang di negeri Kedah. Itu fokus dalam konteks PRN," katanya.
Berkenaan perjalanan politik negara pula, Menteri Dalam Negeri itu memberitahu bahawa Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi taklimat ringkas berkenaan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Termasuklah, katanya, strategi untuk melojakkan kembali ekonomi.
"Majlis Presiden diberi taklimat dalam pendahuluan mesyuarat oleh Pengerusi dan Perdana Menteri tentang perjalanan kerajaan yang memasuki bulan kedua.
"Umumnya mesyuarat diberitahu kedudukan kerajaan kompak, intact dan berfungsi. Itu membolehkan fokus kepada melihat isu rakyat mencakupi tumpuan kos sara hidup.
"Kita diberi gambaran bagaimana untuk melonjakkan kembali ekonomi negara dan kami berbincang sedikit tentang persiapan parlimen yang akan bermula pada minggu ketiga Februari," katanya lagi.