Dua calon Wanita KEADILAN mencipta sejarah di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam.
Mereka adalah Noorzunita Begum Mohd Ibrahim yang menang di DUN Pilah dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang menang di DUN Ampangan.
Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat, Noraini Nordin, kemenangan kedua dua calon itu begitu bersejarah kerana belum pernah Wanita KEADILAN diangkat sebagai ADUN di negeri itu.
"Wanita KEADILAN tidak pernah ada di Dewan Undangan Negeri (DUN). Ini sangat bersejarah.
"Ada dua suara wanita akan berada dalam sidang DUN akan datang.
"Wanita KEADILAN mengucapkan tahniah kepada Wanita Negeri Sembilan sebab meletakkan 2 calon, berjaya menang, dan suara wanita akan lebih kuat di DUN," katanya kepada Suara Keadilan.
Bagaimanapun, Noraini berkata, Wanita KEADILAN tetap mengucapkan tahniah kepada kesemua 9 calon wanita yang bertanding semalam kerana berjaya menghadapi persaingan PRN sehingga ke akhirnya.
"Pada saya semuanya wajar diucap tahniah. Sembilan calon itu. Mereka mampu berjuang dan melawan dengan cekal.
"Yang kalah jangan berputus asa kerana politik ini dinamik. Ada waktu kita boleh menang, ada waktu tidak. Tetapi semua itu dikira menang (setelah berjuang bersungguh sungguh)," katanya lagi.
Semalam, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman menang di DUN Ampangan dengan majoriti 329 apabila ditentang 3 penjuru oleh Muhammad Ghazali Zainal Abidin (PN) dan Mohamad Rafie Ab Malek (bebas) yang merupakan bekas Exco Negeri Sembilan.
Manakala Noorzunita Begum Mohd Ibrahim pula menghadapi persaingan 2 penjuru di Pilah menghadapi calon PN, Rafiei Mustapha dan menang dengan 1,079 undi majoriti.
Comments