Sokongan anak muda Undi 18 dan Undi 21 dijangka akan menentukan pemenang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac ini.
Dengan pengundi yang lebih berusia biasanya berpaut pada sokongan tradisi, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor perlu mendekati pengundi muda untuk menjamin kemenangan Pakatan Harapan.
Bagi Ketua AMK Johor R. Yuneswaran, pergerakan itu akan melipat gandakan gerak kerja berdepan cabaran meyakinkan pengundi agar memilih Kerajaan Negeri yang anti rasuah dan berintegriti dalam PRN kali ini.
"Demi kepentingan Bangsa Johor, AMK Johor akan mengerakkan jentera di semua peringkat bagi membantu kempen PRN yang akan berlangsung pada minggu kedua bulan Mac 2022.
"KEADILAN khususnya AMK melihat PRN Johor ke15 ini berkisar soal isu-isu kebajikan rakyat, ekonomi rakyat, kesengsaran rakyat, kos sara hidup, kemiskinan, harga barang, peluang pekerjaan, masa depan anak muda dan kestabilan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau memberi peringatan kepada rakyat yang mahu memilih BN bahawa tiada gunanya menyokong pemimpin yang sengaja membubarkan DUN bagi meneruskan percaturan politik kluster mahkamah di dalam Umno.
Menurut Yunes lagi, rakyat perlu ingat bahawa Umno masih diketuai oleh seorang pemimpin yang ada sabitan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
"Sudah tentu semua watikah calon akan ditandatangani oleh beliau
"Oleh itu rakyat nilailah sendiri soal integeriti, prinsip dan maruah (calon calon Umno)," katanya.
Suasana PRN Johor, kata Yunes, jauh berbeza dari keadaan PRU14. Formula gabungan parti-parti politik juga berubah, cara kempen berubah dan lebih agresif, termasuk juga tawaran akan berbeza dan kaedah mendekati pengundi yang berlainan apabila PRN kali ini lebih tertumpu kepada sekitar 700,000 pengundi muda.
"Pengundi bertambah kerana pendaftaran pengundi secara otomatik dan dari umur 18 tahun ke atas. Rakyat yang akan menentukan kerajaan yang mereka inginkan untuk mentadbir Negeri Johor melalui proses demokrasi.
"Ayuh anak muda, keluarlah mengundi dan pilih pemimpin yang terbaik atas faktor merit, latar belakang, kewibawaan dan ciri-ciri ketokohan yang mampu membela nasib Rakyat Johor. Nilai prinsip, integriti dan etika harus menjadi kayu ukur utama," katanya lagi.
Dalam pada itu Yunes juga mengucapkan penghargaan kepada Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah melancarkan Jentera AMK semalam, Akmal Nasir selaku Ketua AMK Malaysia, Pengerusi MPN Syed Ibrahim Syed Noh serta pimpinan AMK pusat, Negeri dan anggota parti yang turut hadir bagi menjayakan majlis pelancaran jentera berkenaan.
Kommentare