Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi, Menteri Besar Selangor menyatakan keyakinan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mampu mempertahankan penguasaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Bercakap dihadapan kira-kira 4,000 perwakilan pada Kongres Nasional Khas KEADILAN di Shah Alam semalam, Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau turut menjangkakan gabungan itu bakal memperoleh majoriti selesa di tiga negeri berkenaan.
"PH juga tidak mustahil menawan Kedah, Kelantan dan Terengganu (ditadbir PN) sekiranya semua pihak membantu memberi penerangan lengkap ke peringkat akar umbi," katanya yang juga Naib Presiden KEADILAN.
Susulan perubahan lanskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, PH yang ditunjangi KEADILAN, Amanah, DAP dan UPKO menjalin kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan blok politik lain termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Bagi menghadapi PRN di 6 buah negeri tidak lama lagi, perbincangan kerusi membabitkan PH dan BN sedang berlangsung dan dijangka selesai sebelum pembubaran DUN di semua negeri terbabit diumumkan.
Selain Amirudin, Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli turut menegaskan PN tidak mampu menawan negeri pimpinan gabungan PH pada pilihanraya akan datang.
Jelasnya, meskipun terdapat perubahan sokongan dalam kalangan rakyat, namun ia tidak dilihat ketara di negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Sementara itu, Amirudin dalam penggulungan juga menegaskan PH perlu memberi penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru dengan pendekatan pembangkang yang dakwanya memperalatkan Islam dan membawa politik kebencian.
"Lawan kita telah ambil langkah nasionalisme yang sesat dengan membawa pendekatan tersebut. Mereka ini sama seperti Donald Trump (mantan presiden Amerika Syarikat), bawa politik kebencian kepada imigran.
"Ada yang kata ini gelombang hijau, gelombang Islam tetapi ia hanya gelombang fasis yang tidak sesuai dengan negara kita. Kita angkat Madani kerana ia merangkumi semua," kata Ahli Parlimen Gombak itu lagi.
Comentarios