Oleh: Abdullah Zaid
Suasana tenang menjelang penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap esok.
Tinjauan Suara Keadilan di sekitar daerah utara tanah air itu belum kelihatan banyak bendera parti dinaikkan kerana belum memasuki tempoh berkempen rasmi.
Boleh dikatakan papan iklan dan bendera hanya tertumpu di pusat gerakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sahaja.
Tidak kurang juga, markas-markas PN yang dijadikan tempat untuk jentera menyimpan bendera juga tidak kelihatan. Dijangka perang bendera akan menyerlah selepas hari penamaan calon.
Esok PRK Sungai Bakap bakal membuka tirai dengan proses penamaan calon yang dijangka berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi.
Blok Perpaduan menamakan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, 60, sebagai calon kerajaan.
PRK DUN Sungai Bakap dijangka menyaksikan persaingan sengit antara blok Perpaduan dan PN bagi merampas kembali kerusi tradisi KEADILAN yang dimenangi selama tiga penggal sejak 2008, sebelum terlepas ke tangan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas.
Seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.
Comments