PRK Slim: KEADILAN sokong calon menentang PN



Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim di Perak mungkin mencatat kontroversi apabila Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding sebaliknya menyerahkan kerusi berkenaan kepada Parti Pejuang Tanah Air yang belum didaftarkan.


Terdapat pihak yang terkilan dengan keputusan itu namun menyerahkan DUN kubu kuat Umno kepada parti Tun Mahathir dengan tujuan menjimatkan dana untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang lebih mencabar adalah strategi yang bijak.


Bagaimanapun, penyokong mempersoalkan mengapakah pemimpin ketiga-tiga komponen PH hadir dalam majlis memperkenalkan calon Pejuang pada 12 Ogos lalu.


Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, prinsip PH mudah, gabungan itu akan menyokong sesiapa sahaja yang menentang kebobrokan kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional dalam mana-mana pilihan raya.


"Kita menyokong calon-calon yang menentang PN. Itu kedudukan kita secara rasmi (di Slim)


"Kita tolong kempen. Bila ada masa sesuai kami akan meluangkan masa untuk berkempen. Cuma sekarang kita ada sidang Parlimen jadi tak dapat selalu hadir di sana," katanya ketika dihubungi.


Chang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim, di mana terletakknya DUN Slim bagaimanapun berkata, bantuan daripada PH tidaklah sehebat ketika parti Tun Mahathir, Bersatu menjadi sekutu rasmi seperti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.


Kali ini, katanya, Pejuang jelas menyatakan mereka bukanlah gabungan PH tetapi tidak pula menyokong PN.


Mengulas peluang calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi untuk menang di DUN Slim berbekalkan logo 'pokok', Chang meramal hal itu sukar untuk berlaku.


"Bukan senang tempat ini (kubu Umno), tempat yang susah. Sebelum ini ok, tetapi Pas sudah dalam Perikatan Nasional. Ada masalah di sana (undi BN bertambah).


"Saya rasa kadar keluar mengundi juga menurun dan payah untuk calon Bebas menang walaupun dengan sokongan PH.


"PRU 2018 lalu adalah masa yang sangat bagus (momentum menolak Najib). Tapi itu pun kita tak menang di Slim, sekarang orang lebih fokus kepada ekonomi berbanding politik," katanya lagi.


Namun, Chang berpendapat medan PRK Slim mungkin boleh menguji sejauh mana rakyat luar bandar menanggapi isu kleptokrasi membabitkan pemimpin utama Umno, Najib Razak.


Katanya, sebelum ini Umno mempropagandakan kerajaan PH menganiaya Najib dengan mengenakan berpuluh-puluh tuduhan pengubahan wang haram dan rasuah terhadap bekas PM itu.


Namun apabila Najib didapati bersalah pada 28 Julai lalu, ketika kerajaan PH telah tiada maka andaian beliau dianiaya tidak lagi relevan.


"Cuma ada satu yang harus kita tengok, sejauh mana kes mahkamah Najib akan beri kesan kepada Umno. Saya rasa mungkin akan ada orang Umno yang kurang selesa parti itu terus berada dalam PN. Sebab mereka rasa (terkilan) pemimpin mereka masih kena hukuman," katanya.


Walau apa pun, menurut Chang, hanya itulah faktor yang boleh diambil kira. Tiada faktor lain yang boleh meningkatkan undi kepada Pejuang ketika parti itu tidak menjadi komponen mana-mana gabungan secara rasmi.


Hakikatnya, PRK Slim tidak dilihat penting oleh PH mahu pun PN kerana tidak merubah komposisi kerajaan Perak. BN diramal akan menang mudah.


Cuma BN akan dimalukan sekiranya menang dengan undi majoriti di bawah 2,200 sebagaimana pada PRU 14 lalu. Kali ini mereka akan menikmati pertambahan 4,103 undi dari penyokong Pas.


Sekiranya BN gagal mendapat majoriti lebih 6,000 undi maka kerjasama Umno - Pas dalam Muafakat Nasional akan dipertikaikan kerana penyokong Pas enggan mengundi BN.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio