Oleh: Abdullah Zaid
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid (gambar, mengenakan ves khaki) optimis calon Pakatan Harapan (PH) mampu merampas semula kerusi DUN Sungai Bakap dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini.
Jelasnya, keyakinan itu dizahirkan susulan kerja kuat dan kesefahaman yang ditampilkan jentera dan pimpinan negeri PH-BN sepanjang kerjasama Kerajaan Perpaduan mula dibentuk.
"Sejak Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang mula dibentuk keserasian kami telah lama ada
"Jadi apabila berlaku PRK Sungai Bakap kami tiada masalah untuk gandingan bersama,
sejak hari penamaan lagi jentera BN turut bersama mengiring calon kita.
"Malahan juga, dalam tempoh berkempen ini gerak kerja jentera Perpaduan seiring dan momentum keserasian itu memberi peluang tinggi untuk kita menarik sokongan pengundi yang lebih ramai untuk memilih calon kita," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Justeru, bagi memastikan kemenangan, Dr Mohamad menyeru jentera agar melipatgandakan usaha berkempen memandangkan tempoh merayu undi hanya berbaki sehari hari lagi sebelum hari pengundian.
"Dalam tempoh berkempen ini, selain daripada kita membantu dalam sosial media, pendekatan kempen turun padang seperti aktiviti dari rumah ke rumah dan program setempat terus dipertingkatkan.
"Jadi Insya-Allah sehingga malam terakhir kempen, jentera Perpaduan akan keluar dan menyantuni pengundi seramai mungkin di DUN Sungai Bakap," ujarnya lagi.
Sabtu ini, seramai 39,279 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat baharu DUN Sungai Bakap termasuk 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan mantan pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin atau lebih mesra dipanggil Cikgu Joohari, sebagai calon Madani.
Anak jati Sungai Bakap itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang latihan kepimpinan dan pengurusan selain pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Kawasan yang terletak di bawah Parlimen Nibong Tebal itu pernah menjadi kerusi KEADILAN sejak 2008 sebelum beralih tangan ke Pas pada PRN 2023.
Comments