Oleh: Abdullah Zaid
Suasana hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap dilihat tenang dan pengundi di kawasan Melayu keluar awal kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca tidak menentu menjelang tengah hari.
Tinjauan di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri mendapati suasana di sini meriah dengan kehadiran para pengundi yang semakin bertambah terutamanya golongan emas dan pertengahan.
Setakat jam 8.30 pagi, trafik berjalan agak perlahan di sekitar pusat pengundian.
Kelihatan jentera parti yang bertanding membuat pondok panas bagi memudahkan urusan pengundian selain memudahkan petugas membawa golongan tua ke pintu pusat pengundian.
Turut kelihatan kenderaan perayu undi silih berganti ke pusat pengundian yang disediakan, mengambil dan menurunkan pengundi.
Menurut kenyataan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak sembilan pusat mengundi dengan 65 saluran dibuka sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi bagi proses pengundian yang akan bermula jam 8 pagi hingga 6 petang.
Manakala, sebanyak 552 petugas SPR digerakkan untuk membantu melancarkan proses pengundian.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan mantan pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari atau lebih mesra dipanggil Cikgu Joohari, sebagai calon Harapan.
Comments