Oleh: Noraini Nordin
ANALISIS: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail wajar diberi pujian khusus atas kegigihan dan sikap tidak kenal penat beliau sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.
Sepanjang tempoh kempen boleh dikatakan hampir setiap hari Wan Rosdy berada di Pelangai.
Selain hadir dalam pelbagai majlis kempen dan acara menyantuni pengundi pada sebelah siang, pada sebelah malam beliau biasanya akan hadir dalam program-program berbentuk ceramah.
Dalam tempoh dua minggu sejak penamaan calon pada 23 September lalu, itulah rutin harian Datuk Seri Wan Rosdy.
Tujuan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu berbuat demikian tidak lain ialah untuk memastikan impian kemenangan BN melalui calonnya, Datuk Amizar Abu Adam dalam PRK ini benar-benar menjadi kenyataan.
Hari ini, pada hari pengundian sekali lagi Datuk Seri Wan Rosdy menunjukkan sikap terpujinya sebagai seorang pemimpin.
Beliau 'turun padang' menjadi antara salah seorang pemandu kereta perayu undi untuk mengangkut pengundi ke pusat-pusat pengundian.
Menerusi hantaran Facebooknya, Menteri Besar Pahang itu dilihat memandu sendiri kereta membawa pengundi.
"Walaupun Tokwan tak mengundi hari ni, tapi Tokwan berkongsi semangat dengan pengundi di DUN Pelangai.
"Ini nak gi 'ngantor' pengundi ke pusat pengundian.
"Semoga perjalanan pergi dan balik semua pengundi selamat dan dipermudahkan," katanya.
Pengundi-pengundi yang dibawa oleh Menteri Besar Pahang itu kelihatan begitu ceria dan bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Selain Wan Rosdy, turut sama turun padang untuk membawa pengundi ke pusat-pusat pengundian ialah pemimpin Puteri UMNO Malaysia.
Mudah-mudahan semua usaha ini mampu memberi kejayaan lebih cemerlang buat BN di Pelangai pada PRK ini.
Comments