Oleh: Abdullah Zaid
Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin berharap pengundi mengambil kesempatan untuk keluar mengundi bagi memastikan hasrat Parlimen Kemaman sebagai penghubung kepada Kerajaan Persekutuan dicapai.
Beliau yang bertugas di PDM Gong Limau, Chukai itu berkata, pengundi yang berdaftar perlu mengambil kesempatan dengan keadaan cuaca yang baik pada tengahari ini untuk keluar membuat pilihan masing-masing sebelum pusat berkenaan ditutup jam 6.00 petang nanti.
"Saya mengharapkan cuaca yang masih baik ini dimanfaatkan pengundi. Mungkin ada yang masih bekerja kita tengok sebelum pukul 1 petang ini kalau melepasi 50 peratus ia agak berjaya," katanya kepada Suara Keadilan.
Katanya, dalam strategi mencapai kemenangan, bekas calon BN Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke 15 itu memaklumkan jentera Barisan Nasional (BN) telah berusaha kuat mengeluarkan seramai mungkin pengundi putih mereka untuk memperoleh undian yang tinggi.
"Jentera BN sentiasa berusaha mengutamakan pengundi putih kita dahulu untuk keluar mengundi.
"Kerana peratusan mengundi agak rendah jadi usaha-usaha anggota membawa pengundi menggunakan kenderaan sedang giat dibuat," ujarnya lagi.
Pengundi putih merujuk kepada pengundi tegar, penyokong kuat atau ahli parti yang dijangka akan memberikan undi.
Seramai 141,790 pemilih berdaftar di Kemaman akan membuang undi bagi memilih wakil rakyat baharu bagi kerusi itu setelah penyandangnya Che Alias Hamid dibatalkan kemenangan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu.
Kerajaan Perpaduan mencalonkan Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (BN) berentap dengan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas.
Comments