Oleh: Abdullah Zaid
Biarpun Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman masih berbaki 12 jam sebelum membuka tirai dengan penamaan calon pada esok hari namun perang bendera sudah pun bermula.
Tinjauan Suara Keadilan di sekitar Parlimen Kemaman mendapati pelbagai saiz bendera Barisan Nasional (BN) dan Pas dipasang di beberapa lokasi di sekitar Kemaman termasuk di bahu jalan dan jambatan.
Situasi itu dilihat menambahkan lagi kehangatan PRK yang disifatkan sengit meskipun kelebihan besar buat Pas yang memenangi dengan majoriti 27,179 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan para pengundi di Parlimen Kemaman agar menjadikan kawasan tersebut sebagai jambatan penghubung Negeri Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan kerana tiada lagi kerusi Kerajaan Pusat dari Terengganu.
Jelasnya, sekiranya Parlimen Kemaman berada dalam kerajaan pusat, pelbagai bantuan dan kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat di kawasan tersebut.
Esok, proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman akan bermula dengan penamaan calon yang berlangsung di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman.
Susulan itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengangkat Raja Mohamed Affandi sebagai calon Perpaduan bagi berhadapan dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili Pas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Disember bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dijangka kira-kira 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Kommentare