top of page

PRK Kemaman: BN perlu guna kelebihan calon anak tempatan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Nov 22, 2023
2 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Suasana berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Kemaman meskipun tidak begitu rancak namun tetap mendapat reaksi positif pengundi yang menyokong calon BN bagi mewujudkan satu 'gerbang' perhubungan dengan Kerajaan Persekutuan selepas semua kerusi parlimen dan DUN sebelum ini dikuasai PN.


Tinjauan Suara Keadilan mendapati calon yang diketengahkan oleh BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dilihat penduduk tempatan berupaya menarik sokongan pengundi serta dianggap mempunyai jasa di kawasan berkenaan.


Oleh itu bagi memastikan kemenangan, Alias Abdul Majid, 65 (gambar atas), mengharapkan jentera BN akan bekerja keras bagi mengembalikan undi ahli UMNO dan pengundi Atas Pagar kepada calon BN.


"Syarat menang adalah semua ahli BN dapat memainkan peranan masing-masing untuk menangkan calon melalui perjumpaan dengan semua Ketua Cawangan selain daripada mendekati pengundi Atas Pagar.


"Hanya dengan langkah itu, saya yakin sokongan BN dapat dipulihkan kembali," katanya.

Bahari Mahmud

Senada dengan beliau, Bahari Mahmud, 65, pula berkata, berbanding dengan lawannya, calon BN merupakan anak jati sekali gus memberi kelebihan buatnya untuk memahami denyut nadi pengundi Kemaman.


"Kelebihan buat calon BN beliau lebih dikenali sebagai bekas askar yang terbukti telah berkhidmat untuk negara.


"Selain itu, beliau juga dibesarkan di sini. Jadi ramai pengundi di Kemaman yang mengenali beliau secara dekat.


"Saya yakin, kelebihan yang ada pada beliau akan digunakan sepanjang kempen ini," katanya.

Azmi A Rahman

Selain itu, untuk memastikan kemenangan berpihak kepada blok Perpaduan, Azmi A Rahman menyarankan kempen di media sosial perlu dimanfaatkan sepenuh.


Kata beliau, pengaruh media sosial kebelakangan ini lebih besar dan mudah menarik untuk hati pengundi muda biar pun di kawasan pendalaman.


"Berbanding dengan Pas, BN agak ketinggalan dalam aspek media sosial ketika berkempen.


"Jadi saya harap agar bahan kempen melibatkan Tiktokers dan influencer diramaikan lagi," ujarnya.


Sepanjang 18 November hingga 2 December ini merupakan hari berkempen bagi calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan calon Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk merebut kerusi Parlimen Kemaman.


Kira-kira 141,790 pengundi diberi hak untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam memilih calon baharu bagi kerusi itu setelah penyandangnya Che Alias Hamid dibatalkan kemenangan oleh Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page