top of page

PRK DUN Chini: Benarkan calon-calon berkempen di media kerajaan




Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh


Pada 15 Jun 2020, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan Prosidur Operasi Standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini yang dijadualkan pada 4 Julai, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Proses penamaan calon akan dijalankan pada 20 Jun.


Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata senarai teratas ialah mematuhi penjarakan sosial, penggunaan pelitup separuh muka dan pembersih tangan serta pengambilan suhu ke atas semua yang terlibat dalam proses PRK.


Untuk memastikan pematuhan penjarakan sosial, Datuk Azhar juga mengatakan tiada ceramah akan dibenarkan. Calon-calon atau penyokong tidak dibenarkan membuat lawatan ke rumah pemilih.


“Sebaliknya, calon-calon boleh memaksimumkan kaedah kempen melalui media sosial dan pasukan pemantau SPR akan meneliti aktiviti-aktiviti kempen yang dijalankan oleh calon-calon,” katanya. 


Kempen di luar bandar


Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah melawan dan mencegah pandemik Covid-19, saya sambut baik pengumuman oleh SPR tersebut. Saya yakin langkah-langkah berkenaan diambil demi kepentingan semua - pemilih, penyokong, calon-calon, pegawai SPR, penguatkuasa dan lain-lain. 


Menurut Datuk Azhar, keseluruhan langkah yang diambil dijangka menelan kos berjumlah lebih kurang RM4.3 juta, antara perbelanjaan tertinggi PRK.

 

Berdasarkan di atas, bagaimanapun, kami agak bimbang dengan syarat-syarat kaedah kempen terutama apabila Chini dikenali sebagai kawasan luar bandar dan penempatan warga FELDA dan Orang Asli. 


Meskipun kita berada dalam krisis Covid-19, prinsip pilihan raya yang adil dan bebas serta prinsip proses demokrasi wajar ditegakkan. Jaminan terhadap prinsip-prinsip tersebut amatlah penting ke arah keabsahan pilihan raya. 


Berkempen di media rasmi


Sehubungan itu, kami ingin mengesyorkan supaya SPR bekerjasama dengan saluran media kerajaan dan swasta untuk memastikan pencapaian yang munasabah dan adil (masa ke udara yang saksama) diberikan kepada calon-calon untuk menyampaikan pandangan dan komitmen mengapa mereka perlu dipilih. 


Saya difahamkan pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) telah bersedia untuk menyediakan tambahan kapasiti dan liputan internet sekiranya SPR memutuskan untuk menggalakkan kempen dalam PRK Chini dilakukan melalui media sosial. Apa yang diperlukan sekarang ialah untuk melebarkan liputan melalui saluran media perdana kerajaan dan swasta terutamanya televisyen dan radio. 


Saya percaya ini berfaedah untuk kedua-dua pihak, untuk pemilih dan calon-calon serta penyokong. 


Pemilih akan mempunyai pencapaian yang mudah dan tanpa kos terhadap maklumat calon-calon dan parti melalui sesi debat di televisyen atau radio. 


Calon-calon dan parti boleh berjimat daripada berbelanja lebih untuk bendera, poster dan sepanduk yang mungkin bukan sahaja mencemar alam sekitar, tetapi membebankan kewangan (terutama bagi calon dan parti yang kekurangan sumber). 


Lawatan rumah ke rumah


Selain daripada capaian kepada media perdana, saya juga percaya kempen rumah ke rumah masih boleh dibenarkan dengan syarat-syarat yang ketat iaitu dengan mematuhi penjarakan sosial, memakai pelitup separuh muka dan tidak melebihi 4 orang, atas sebab-sebab di atas. Sudah tentu rundingan sewajarnya dilakukan terlebih dahulu dengan pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan dan pihak polis. 


Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen - Pilihan Raya (JPKP-PR) yang ditubuhkan hujung tahun lalu selari dengan inisiatif reformasi Parlimen, saya memandang penting bahawa SPR dan kerajaan akan mengemukakan pindaan kepada undang-undang pilihan raya dan/atau prosidur akibat daripada kebiasaan baharu pasca Covid-19. Dan seboleh mungkin sesi sumbang saran diadakan dengan semua pemegang taruh sebagai prasyaratnya. 


Gubal undang-undang baharu


Seperti yang dibincangkan ketika kunjungan hormat JKPK-PR ke SPR Januari lalu, mandat besar JKPK-PR ialah penggubalan undang-undang pilihan raya kerana ia bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan boleh membantu memudahcara proses pelaksanaan reformasi pilihan raya seperti yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya.


Lebih penting lagi, JKPK-PR boleh memainkan peranan penting sebagai semak dan imbang terhadap SPR dan kerajaan.

 

Dengan kata lain, JKPK-PR antara lain boleh - menilai mana-mana perundangan dan pindaan sebelum ia dibentang dan dibahaskan di parlimen dengan mendapat pandangan semua pemegang taruh; menilai dan membahaskan laporan tahunan SPR termasuk laporan pilihan raya umum dan PRK; meneliti laporan kewangan dan perbelanjaan SPR termasuk untuk pilhan raya umum dan PRK; menjalankan inkuiri apa-apa perkara berkaitan pilihan raya dan apabila perlu, mempunyai kuasa untuk memanggil saksi-saksi bagi memberi testimoni dan bukti serta untuk mengemukakan syor-syor bagi reformasi pilihan raya, pengamalan dan undang-undang. 


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen – Pilihan Raya (JPKP-PR) dan Ahli Parlimen Ledang



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page