Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi DUN Chini, Pahang akan diadakan pada 4 Julai depan.
Hari penamaan calon dibuat pada 20 Jun manakala hari mengundi awal adalah pada 30 Jun dan tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari.
Pengerusi SPR, Azhar Harun menjangkakan sebanyak 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada hari undi nanti.
“SPR memohon semua pihak termasuk media dan parti-parti politik agar mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.
SPR juga akan menyiarkan proses penamaan calon, pengeluaran kertas undi pos, pengundian awal, semakan peti undi, pengundian, pengiraan undi dan keputusan PRK secara langsung dalam akaun Facebook rasmi SPR.
Pada masa sama, SPR berjanji akan memastikan proses PRK DUN Chini diadakan selari dengan langkah kawalan pencegahan wabak COVID-19 yang ditetapkan ketika ini.
Mengikut daftar pemilih induk 2019 yang dikemaskini pada 7 Mei 2020, seramai 20,990 pemilih layak mengundi di PRK DUN Chini.
Kekosongan kerusi DUN Chini berlaku selepas penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung.
Pada PRU14, Abu Bakar memenangi kerusi DUN Chini selepas meraih 10,027 undi dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang meraih 5,405 undi dan calon KEADILAN, Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.
Semalam, Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan UMNO akan bertanding di DUN Chini setelah mendapat persefahaman dengan PAS.
Ini bermakna, kerusi DUN Chini akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon UMNO selaku wakil Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan yang berkemungkinan akan meletakkan calon KEADILAN.
Comments