PRK DUN Ayer Kuning: Isu ladang babi modal terdesak PN - MB Perak
- Suara Keadilan
- Apr 24
- 1 min read

Perikatan Nasional (PN) disifatkan terdesak mencari kelemahan Kerajaan Negeri Perak untuk dijadikan modal kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, isu ladang babi yang dijaja PN semasa kempen PRK bukan sahaja menunjukkan pembangkang ketandusan modal kempen malah dibimbangi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan rakyat.
"Bila mereka (PN) mahu politikkan perkara ini (babi) dia cari sampai dapat, termasuklah melawat kawasan di luar DUN Ayer Kuning. Melaratlah lepas ini, pergi cari jalan rosak sampai ke Lenggong.
"Akan bangkitlah (timbul isu), kerajaan Perak (tidak baiki) jalan rosak di Lenggong walaupun yang mengundi di Ayer Kuning sahaja," katanya dipetik.
Saarani berkata begitu ketika ditemui media selepas seminar keibubapaan di Sekolah Menengah Sains Tapah pada Rabu.
Terdahulu, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mendesak Kerajaan Negeri menjawab pendedahan kewujudan ladang babi di Kampung Poh, terletak kurang 5km dari kawasan PRK.
Idris turut mendakwa efluen dilepaskan menjadi antara punca pencemaran Sungai Bidor.
Sementara itu Saarani menegaskan, Kerajaan Negeri menyerahkan kepada pihak berwajib termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melakukan siasatan mengesahkan sama ada air sungai berkenaan tercemar atau tidak seperti didakwa.
"Biarlah jabatan kerajaan bertanggungjawab (melakukan siasatan)…cuma jangan politikkan sahaja," tegasnya.
Comments