PRK Ayer Kuning: AMK Perak perkukuh usaha menangkan calon Perpaduan
- Suara Keadilan
- Apr 20
- 2 min read

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning menyaksikan kerjasama penuh daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak untuk berkempen dan merayu undi.
Menurut Pengarah Pilihanraya AMK Perak, Ashraf Kahasni, AMK Perak komited menyokong penuh calon Barisan Nasional (BN) dari Kerajaan Perpaduan, Dr Mohamad Yusri Bakir dengan memperhebatkan gerak kerja kempen di peringkat akar umbi.
"Sejak hari penamaan calon, AMK Perak telah turun padang dan berkampung di DUN Ayer Kuning.
"Kehadiran pimpinan tertinggi AMK Malaysia seperti YB Adam Adli (Ketua AMK Malaysia), Saudara Kamil Munim (Timbalan Ketua AMK Malaysia), Saudara Omar Mokhtar (Setiausaha AMK Malaysia), serta sokongan daripada pimpinan negeri dan pusat termasuk YB Dr Taufiq Johari (Ketua AMK Kedah) dan Saudara Azzin Izzad (Ketua AMK Perlis), menjadi suntikan semangat kepada jentera AMK di sini.
"Di bawah koordinasi Saudara Zaim Sidqi, Ketua AMK Perak, jentera digerakkan dengan strategi menyeluruh iaitu melibatkan jentera tempatan, cabang angkat dan negeri angkat. Fokus utama adalah untuk memastikan kehadiran jenteran perpaduan kuat di akar umbi serta membawa gelombang perubahan ke setiap pelusuk Ayer Kuning," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, memasuki minggu kedua kempen hari ini, Ashraf berkata, AMK Perak meningkatkan lagi momentum melalui pergerakan jentera yang lebih tersusun di tujuh Daerah Mengundi (DM) yang dijadikan DM angkat KEADILAN Perak, termasuk kempen lapangan dan penguasaan di media sosial.
"Gerak kerja jentera tertumpu di Bilik Operasi Pakatan Harapan PRK N.48 Ayer Kuning serta beberapa DM strategik dalam DUN Ayer Kuning.
"AMK Perak bersedia menterjemahkan kestabilan politik di bawah Kerajaan MADANI kepada keyakinan pengundi demi memastikan kemenangan kekal milik Barisan Nasional," kata Timbalan Ketua AMK Perak itu lagi.
Hari mengundi bagi PRK Ayer Kuning ialah pada 22 April bagi pengundian awal dan 26 April bagi undi di pusat pembuangan undi.
Daripada 31,897 pemilih berdaftar, seramai 14,527 daripadanya terdiri daripada pengundi berusia antara 18 hingga 39 tahun.
Comments