PRK Ayer Kuning: 'Agenda perpaduan nasional diterima, politik sentimen melemah'
- Suara Keadilan
- Apr 30
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April lalu membuktikan formula Kerajaan MADANI berjaya menambat hati rakyat terutamanya pengundi di DUN berkenaan.
Susulan kejayaan di Perak itu, Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menyifatkan formula gabungan Perpaduan iaitu gabungan utama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), merupukan formula politik mantap yang diterima rakyat Malaysia.
''(Keputusan PRK menunjukkan) politik perkauman yang dibawa Perikatan Nasional (PN) ditolak rakyat termasuk orang Melayu kerana orang Melayu sedar bahawa ia hanya alat politik yang digunakan apabila parti (pembangkang) menjadi lemah.
''Perpaduan Nasional mengatasi perpaduan Melayu. Hakikatnya, bagi mengangkat martabat Melayu, kekuatan ekonomi negara sangat penting dan pemulihan ekonomi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula menunjukkan kesan positif.
''Atas keyakinan itu, orang Melayu menyokong Kerajaan Perpaduan dan PN sudah mula ditolak dan hal itu dibuktikan dalam PRK DUN Ayer Kuning yang menyaksikan hampir semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu dimenangi BN,'' katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Faiz turut mengenang kembali tentang saranan mantan Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor yang telah mencadangkan ‘Perpaduan Nasional’ sebagai respon kepada cadangan ‘Perpaduan Melayu’ oleh mantan Presiden UMNO, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih dua dekad lalu.
Katanya, Allahyarham yang dikenali sebagai tokoh moderate Pas pada 2001 telah berpandangan jauh dengan melihat kepada maslahah negara mengatasi kaum dan tidak menjadikan perkauman sebagai alat politik.
Ujar Faiz lagi, perjuangan Islam oleh Almarhum ayahanda beliau, Fadzil Noor kekal kukuh dan konsisten atas dasar kepentingan negara serta agenda pentadbiran berdasarkan prinsip Islam.
Prinsip itu katanya, termasuk masyarakat Madani, berkebajikan, adil dan pentadbiran dinamik yang digagaskan dalam dokumen ‘Memorandum Pas Kepada Rakyat Malaysia-Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21’.
''Bagaimanapun, kompas politik Pas kini berubah dan beralih kepada permainan politik perkauman dengan menjadikan pemahaman agama sempit sebagai alat bagi mengapi-apikan kebencian kaum.
''Bagi mencapai matlamat itu, Pas berjuang atas fitnah dan adu domba dan bukan lagi hujah ilmu dan fakta.
''Terbaharu ketika kempen di PRK Ayer Kuning, Pas memainkan isu ladang khinzir bagi menunjukkan ancaman kaum Cina kepada orang Melayu, sedangkan fakta menunjukkan tiada pencemaran sisa ladang babi berlaku.
''Begitu juga isu penangguhan haji kerana pilihanraya, yang mana fatwa politik ini bukan berasaskan ilmu Islam sebenar,'' tempelak beliau sambil menambah hujah dan kempen menunggang ‘Perpaduan Melayu’ akan berkumandang apabila sesuatu parti itu mula melemah.
コメント