PRK Ayer Kuning: 50 peratus keluar mengundi setakat jam 3 petang
- Suara Keadilan
- Apr 26
- 1 min read

Cuaca cerah membantu pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning hari ini.
Statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya mendapati kira kira 50.18 peratus telah menunaikan tanggungjawab setakat jam 3 petang.
Tinjauan bebas pula mendapati tidak terdapat kesesakan di kesemua pusat mengundi pada sepanjang pagi tadi.
Dalam pada itu Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berpuas hati dengan tahap kerjasama yang ditunjukkan jentera BN dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang 14 hari kempen.
Katanya, kesepakatan yang ditunjukkan itu diharapkan diterjemahkan oleh rakyat dengan baik. Iaitu menghasilkan keputusan cemerlang seperti di PRK DUN Nenggiri Kelantan dan DUN Mahkota Johor, sebelum ini.
"Insya-Allah, kita akan berjaya mempertahankan kerusi itu (Ayer Kuning) dan saya doakan ustaz (Dr Mohamad Yusri Bakir) akan berjaya.. mudah-mudahan Allah merestui dan memakbulkan doa ini.
"(Bagaimanapun) kemenangan ini bergantung kepada peratusan pengundi yang akan keluar mengundi memandangkan ada dalam kalangan pengundi Melayu yang baru pulang dari kampung selepas Hari Raya manakala pengundi Cina juga baru pulang dari perayaan Qingming," katanya dipetik Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Komival RISDA MADANI (KARRISMA) Zon Utara Tahun 2025 di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah Sungai Sumun di Tapah.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut berharap jentera parti dapat membantu menggerakkan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
"Saya harap cuaca tidak hujan sehingga petang dan jentera dapat lakukan ‘get out the voters’… saya harap mereka keluar rumah (untuk mengundi)," katanya lagi.
Comentários