Prinsip Integriti, Akauntabiliti, Ketelusan penting dalam tadbir kewangan parti - Karen
- Suara Keadilan

- Oct 7
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Atas semangat memperkukuh organisasi parti, Timbalan Bendahari Wanita Pusat KEADILAN, Karen Kasturi, menghadiri Latihan Pemantapan Organisasi dan Kesepaduan Pasukan Wanita Cabang KEADILAN Kuala Langat yang berlangsung di sebuah hotel di Klang pada 4 Oktober lalu.
Kehadiran beliau sebagai tenaga pengajar bagi sesi bertajuk 'Pemantapan & Pengurusan Kewangan Wanita Cabang KEADILAN', satu inisiatif penting bagi memperkukuh tadbir urus kewangan serta meningkatkan kecekapan pengurusan di peringkat akar umbi parti.
Dalam sesi tersebut katanya, beliau telah berkongsi pelbagai aspek utama termasuk peranan Bendahari, Timbalan Bendahari dan AJK Wanita Cabang dalam pengurusan kewangan.
"Selain itu, saya turut menekankan penerapan Prinsip 3K iaitu Integriti, Akauntabiliti dan Ketelusan dalam setiap urusan kewangan cabang.
"Antara aspek yang turut diberi penekanan termasuk tatacara pelaporan dan rekod transaksi kewangan melalui Buku Tunai Wanita Cabang, latihan simulasi Buku Tunai untuk memahami cara merekod setiap transaksi dengan tepat.
"Saya turut menekankan tentang kaedah penyediaan bajet program supaya setiap aktiviti cabang dirancang dengan berhemah dan tersusun," katanya dalam satu kenyataan sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Wanita Cabang Kuala Langat, Uma Nanthini atas jemputan dan menjayakan inisiatif berkenaan.
Menceritakan lebih lanjut, Karen berkata, di akhir sesi, peserta dibahagikan untuk membentuk kumpulan bagi menyediakan dan membentangkan bajet program pilihan mereka.
Beliau berkata, semangat dan kesungguhan yang dipamerkan Wanita KEADILAN Kuala Langat ketika latihan itu merupakan sesuatu yang membanggakan.
"Dalam konteks ini, saya menggemakan pesanan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5% pada 2022 kepada 4.1% daripada KDNK.
"Kenyataan itu mencerminkan bahawa disiplin dan ketelusan kewangan bukan hanya tanggungjawab kerajaan di peringkat nasional, tetapi satu nilai yang mesti diterapkan dalam setiap lapisan organisasi termasuk di peringkat cabang parti.
"Pengurusan kewangan yang cekap dan berintegriti adalah nadi kekuatan organisasi. Apabila wanita di setiap Cabang memahami peranan mereka dan mengamalkan akauntabiliti, kita membina kekuatan politik yang mampan dan dihormati," ujar Karen yang juga Exco Majlis Pimpinan Wanita Pusat KEADILAN.









Comments