PRIME sediakan komunikasi radio, internet berdepan situasi bencana, kecemasan
- Suara Keadilan

- Sep 9
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) sebagai langkah memperkukuh sistem komunikasi negara terutama ketika berdepan bencana atau berada di kawasan tanpa infrastruktur komunikasi.
Dalam satu kenyataan, MCMC menjelaskan fungsi inisiatif itu dibangunkan antara lain bertujuan memastikan kesinambungan komunikasi ketika situasi genting seperti bencana alam, kejadian kecemasan dan operasi menyelamat.
Katanya, ia berupaya membantu agensi penyelamat, pasukan penguatkuasa, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk berkoordinasi dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan keberkesanan misi menyelamat dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
''Inisiatif berkenaan juga menyasarkan kawasan pedalaman dan luar bandar yang sering berdepan kekangan liputan komunikasi.
''PRIME boleh digunakan untuk menyediakan rangkaian komunikasi sementara di kawasan terjejas dan menyokong operasi penyelamatan serta koordinasi agensi keselamatan.
''Selain itu, PRIME juga berperanan dalam menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat setempat dan pada masa sama membantu agihan bantuan kemanusiaan dengan lebih teratur,'' maklum MCMC.

Berkaitan dengan teknologi yang digunakan pula, MCMC berkata PRIME menggunakan gabungan pelbagai teknologi terkini, termasuk komunikasi satelit untuk kawasan tanpa liputan selular.
Teknologi yang digunakan menurut MCMC melibatkan rangkaian selular mudah alih, radio dua-hala untuk kegunaan pasukan operasi dan Wi-Fi hotspot untuk akses internet pantas.
''Drone turut digunakan bagi memperluaskan liputan dan menyampaikan maklumat secara terus di lokasi kritikal.
''Selain bencana, PRIME juga boleh digunakan untuk menyokong program outreach dan literasi digital di kawasan luar bandar.
''Inisiatif ini turut menjadi platform sokongan kepada pusat komuniti digital NADI (National Information Dissemination Centre) dan membantu mengukuhkan komunikasi semasa acara berskala besar yang memerlukan sistem tambahan,'' jelas MCMC.
Menurut MCMC lagi, unit pertama telah dilancarkan untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia, manakala dua unit tambahan sedang dalam perancangan dan dijangka beroperasi di Sabah serta Sarawak menjelang hujung 2025.
Kata MCMC, keutamaan penggunaan diberikan kepada beberapa pihak iaitu agensi penyelamat dan penguatkuasaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, PRIME turut boleh digunakan oleh agensi kerajaan negeri atau daerah ketika bencana serta komuniti tempatan melalui program NADI untuk mengakses kepada capaian internet.









Comments