Prestasi perdagangan Januari tertinggi sejak 1990 - MIDA
- Suara Keadilan

- 17 hours ago
- 2 min read

Prestasi perdagangan Malaysia pada Januari mencatat nilai tertinggi pernah direkodkan bagi bulan berkenaan sejak 1990 apabila jumlah dagangan mencecah RM272.37 bilion, meningkat 12.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dalam kenyataan berkata peningkatan itu didorong oleh eksport yang kukuh khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi sekali gus mencerminkan daya saing serta ketahanan ekonomi negara dalam persekitaran global yang mencabar.
Menurut MIDA, eksport meningkat kepada RM146.87 bilion manakala import berjumlah RM125.5 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.37 bilion, melonjak 483.9 peratus berbanding Januari tahun lalu.
Sektor elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama eksport negara dengan sumbangan 48 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport, selepas mencatat peningkatan ketara sebanyak 39.5 peratus kepada RM70.53 bilion.
MIDA berkata prestasi itu sejajar dengan peningkatan permintaan global terhadap semikonduktor, didorong kemajuan pesat aplikasi kecerdasan buatan (AI) serta kitaran peningkatan teknologi yang berterusan.
"Lonjakan eksport E&E, khususnya dalam segmen semikonduktor termasuk litar bersepadu elektronik, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian bekalan global.
"Dengan unjuran pertumbuhan pasaran semikonduktor global sebanyak 26.3 peratus tahun ini, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada momentum tersebut," menurut kenyataan itu.
MIDA turut memaklumkan Malaysia mencatat pertumbuhan dua digit di hampir semua pasaran eksport utama, termasuk negara ASEAN, Amerika Syarikat (AS), China, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan yang secara kolektif menyumbang 68.2 peratus daripada jumlah eksport negara pada Januari.
Eksport ke AS meningkat 33.9 peratus kepada RM23.1 bilion, mencatat nilai tertinggi pernah direkodkan bagi Januari, manakala eksport ke China naik 16.1 peratus kepada RM15.47 bilion.
Eksport ke Taiwan pula melonjak 79.4 peratus kepada RM9.93 bilion, mewakili nilai bulanan tertinggi pernah dicapai setakat ini.
"Pencapaian tersebut mencerminkan keyakinan pelabur serta keberkesanan dasar perindustrian negara dalam memperkukuh ekosistem pelaburan dan perdagangan sekali gus menyokong agenda Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini," menurut kenyataan itu.









Comments