Maklum balas positif masyarakat terhadap kepimpinan dan prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mempengaruhi sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menyuarakan keyakinan itu susulan kaji selidik dijalankan firma tinjauan pendapat awam, Merdeka Center yang mendapati hampir 3/4 daripada responden kajian berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri.
Walau bagaimanapun katanya, Pakatan Harapan tidak boleh hanya bergantung semata-mata kepada prestasi ditunjukkan kerajaan sebaliknya persiapan menghadapi PRN perlu diperkukuh.
"Sudah pasti segala persiapan bagi menghadapi PRN sedang dirangka untuk merancakkan lagi kempen tapi dalam masa sama kita mesti berdepan dengan realiti untuk bersama-sama beri tumpuan kepada pembangunan negara.
"Saya percaya ada keseimbangan di situ namun persiapan kita telah bermula, dan saya harap rakyat dapat buat penilaian kali ini untuk kembalikan keyakinan kepada kerajaan perpaduan," katanya.
Shamsul ditemui media selepas menghadiri majlis pelepasan anak benih projek komuniti 'farm to farm' ternakan ikan keli lestari di Bukit Langkap, Penanti kelmarin.
Turut hadir adalah Exco Kerajaan Negeri, Dr Norlela Ariffin yang juga ADUN Penanti.
Merdeka Center dalam tinjauan membabitkan 1,209 pengundi pelbagai kaum, dijalankan bermula 26 Disember hingga 15 Januari lalu, mendapati 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri selepas dua bulan menerajui negara.
Kajian itu juga mendapati, 54 peratus responden berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Persekutuan dan hanya 25 peratus menyatakan tidak berpuas hati.
Comments