Prestasi Kerajaan Negeri tahun ketiga Perak Sejahtera 2030 membanggakan
- Suara Keadilan

- Jul 1
- 1 min read

Prestasi Kerajaan Negeri dalam kerangka Perak Sejahtera 2030 amat membanggakan.
Hal itu dinyatakan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof usai Majlis Pembentangan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030 yang berlangsung pada kelmarin di Kolej Kemahiran Tinggi MARA Lenggong.
Menurut beliau, pembentangan yang dilakukan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad itu memaklumkan bahawa 108 daripada 272 projek dan inisiatif di bawah pelan berkenaan telah berjaya dilaksanakan.
"Sebanyak 128 lagi sedang dalam pelaksanaan, manakala 36 projek berada di peringkat pra-pelaksanaan.
"Tambahan pula, 127 projek baharu telah dikenalpasti untuk dimasukkan dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 agar pelaksanaannya dapat dipantau secara sistematik.
"Lebih membanggakan, hasil kajian menunjukkan tahap kesedaran rakyat terhadap pelan itu mencecah 89.3%, manakala tahap kepuasan rakyat terhadap pelaksanaannya berada pada kadar 91%," katanya dalam muat naik di Facebook.

Menurut Mujahid lagi, Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilancarkan pada 15 Jun 2022 itu merangkumi sembilan agenda utama seperti sekuriti makanan; ekonomi digital; pembuatan keputusan berpacukan data; koridor TVET Malaysia; perlombongan bertanggungjawab; tadbir urus projek berkepentingan negeri; pembangunan sosial; kelestarian alam dan biodiversiti; dan pemerkasaan pihak berkuasa tempatan.
"MB turut menekankan tumpuan terhadap lima nod pertumbuhan negeri, yang disasarkan menjadi pemacu utama ekonomi Perak dalam dekad mendatang," kata Mujahid lagi.
Pada akhir majlis, ujarnya, berlangsung penyampaian watikah pelantikan kepada Ketua-Ketua Kampung yang baharu bagi seluruh negeri Perak.
Hal itu menurut beliau, suatu langkah penting untuk memperkukuh kepimpinan akar umbi dan keberkesanan penyampaian dasar di peringkat komuniti.









Comments