
Sejak ditubuhkan pada 1999, KEADILAN berusaha untuk menyebarkan ideologi dan perjuangan reformasi di seluruh negara, termasuk di Sabah.
Namun, untuk meraih sokongan dari rakyat Negeri Di Bawah Bayu bukanlah mudah memandangkan KEADILAN merupakan sebuah parti baharu.
Malah, KEADILAN memerlukan masa untuk bertapak di Sabah dengan mewujudkan ahli-ahli dari akar umbi dan jentera di negeri itu.
Atas beberapa faktor juga, KEADILAN membuat keputusan untuk tidak bertanding atau meletakkan calon di Sabah pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU-10) pada 1999.
Bagaimanapun, Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 31 kerusi dengan UMNO memenangi 24 kerusi ketika itu.
Parti pembangkang, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang memenangi 17 kerusi ketika itu adalah satu keputusan luar biasa kerana parti itu berpecah kepada empat parti serpihan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 1994.
Ini menunjukkan Sabah sudah bersedia untuk memberikan mandat kepada parti selain dari BN.
2004
KEADILAN bertanding di Sabah buat kali pertama pada PRU-11.
Ketika itu, KEADILAN bertanding 19 kerusi dari 60 kerusi yang dipertandingkan di Sabah, namun gagal memenangi sebarang kerusi.
Malah, BN memenangi 59 kerusi dan lapan kerusi daripadanya dimenangi tanpa bertanding.
Kemenangan itu juga dibantu oleh parti pembangkang PBS yang membuat keputusan untuk menyertai BN pada 2002.
2008
KEADILAN bertanding 55 kerusi daripada 60 kerusi pada PRU-12, namun masih gagal memenangi sebarang kerusi.
Malah, seorang calon KEADILAN, Mohaspa Mohd Hassan menarik diri daripada bertanding di DUN Gum Gum pada 24 Februari, seminggu sebelum hari mengundi pada 8 Mac, sekali gus memberi kemenangan percuma kepada calon BN, Zakaria Mohd Edris.
BN sekali lagi memenangi 59 kerusi DUN, dengan dua kerusi dimenangi tanpa bertanding, manakala DAP hanya memenangi satu kerusi daripada 10 kerusi yang dipertandingkan.
2013
Keputusan KEADILAN, DAP dan Pas untuk membentuk Pakatan Rakyat memberi kesan besar di Sabah apabila gabungan itu memenangi 11 kerusi DUN.
Buat pertama kalinya, KEADILAN memenangi 7 kerusi daripada 43 kerusi yang dipertandingkan, manakala 4 lagi dimenangi oleh DAP.
Malah, SAPP yang bertindak keluar dari BN melemahkan parti pemerintah apabila hanya memenangi 48 kerusi berbanding 59 kerusi sebelum ini.
Namun, kejayaan tersebut dicemari dengan tindakan ADUN Matunggong, Jailani Hamdan dan ADUN Kadamaian, Jeremy Malajad yang bertindak keluar KEADILAN pada bulan November 2013, tidak sampai setahun selepas memenangi kerusi masing-masing.
Ia disusuli dengan ADUN Klias, Lajim Ukin dan ADUN Moyog, Terence Siambun dan ADUN Tamparuli, Wilfried Bumburing yang keluar parti pada 2016.
Insiden itu menyebabkan KEADILAN hanya mempunyai dua orang wakil rakyat, iaitu ADUN Api-Api, Christina Liew dan ADUN Inanam, Roland Chia.
Ia juga mewujudkan kebimbangan sama ada KEADILAN dapat meraih lebih banyak sokongan atau sebaliknya.
2018
KEADILAN bertanding pada PRU-14 dengan semangat baharu apabila membentuk Pakatan Harapan (PH) bersama DAP dan Amanah dengan kerjasama parti Warisan yang diterajui Datuk Seri Shafie Apdal.
Berbanding pilihan raya sebelum ini, KEADILAN hanya bertanding lapan kerusi bagi mengelakkan daripada berlaku pertandingan tiga penjuru.
Namun, KEADILAN hanya dapat mempertahankan dua kerusi iaitu DUN Inanam yang dimenangi oleh Kenny Chua dan DUN Api-Api oleh Christina Liew.
PH secara keseluruhan memenangi 29 kerusi, terikat dengan BN yang juga memenangi 29 kerusi.
Bagaimanapun, dengan enam ADUN BN isytihar sertai Warisan, gabungan PH selain mendapat sokongan (confidence and supply) daripada enam ADUN UPKO meraih majoriti 39 kerusi, sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri dan menamatkan pemerintahan BN di Sabah selepas 24 tahun.
2020
Selepas Musa Aman mengisytiharkan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu, kerajaan PH sudah hampir pasti akan tumbang di Sabah.
Namun Ketua Menteri, Shafie Apdal bertindak membubarkan DUN Sabah, dan mengisytiharkan Pilihan Raya Negeri bagi menyelesaikan krisis politik yang melanda negeri itu.
ADUN-ADUN yang berpaling tadah dan menyokong Musa dipecat serta-merta termasuk ADUN Inanam, Kenny Chua.
Kini, KEADILAN hanya mempunyai seorang wakil DUN, Christina Liew selaku wakil ADUN Api-Api.
KEADILAN bakal berdepan cabaran baharu apabila PRN Sabah akan mempertandingkan 73 kerusi DUN, selepas persempadanan baharu diluluskan pada 2019.
KEADILAN mungkin mampu mempertahankan DUN Api-Api dan merampas semula DUN Inanam, namun siri pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin dan ahli perlu ditangani sewajarnya supaya tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti.
Malah, selaku negeri kedua paling ramai ahli KEADILAN dengan bilangan lebih 120,000 ahli, KEADILAN Sabah perlu menggunakan kelebihan itu untuk mendapatkan lebih banyak sokongan rakyat, sekali gus membantu Warisan dan PH memenangi PRN akan datang.
Comments