Oleh: Abdullah Zaid
Majoriti rakyat di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berpuas hati terhadap prestasi pentadbiran negeri Kerajaan Perpaduan (Perpaduan) sekali gus menjadi faktor utama kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar berkata, hasil dapatan kajian yang dijalankan sepanjang proses pilihanraya tersebut di ketiga-tiga negeri yang dikuasai blok Perpaduan juga baki negeri yang dikuasai PN, mempunyai pengaruh tersendiri.
Dalam pada itu katanya, bagi negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) seperti Pulau Pinang didapati mencatatkan tahap kepuasan yang paling tinggi rakyat, diikuti Selangor dan Negeri Sembilan.
Manakala, bagi blok pembangkang pula Kelantan mencatatkan tahap kepuasan yang paling rendah berbanding negeri yang dikuasai PN.
"Sikap responden di ketiga-tiga negeri (negeri yang dikuasai Perpaduan) mempunyai tanggapan berlainan seumpama dua akuarium yang berbeza.
"Populariti kerajaan PH yang dikuasai PH Pulau Pinang mendapat 86 peratus diikuti Selangor 79 peratus dan Negeri Sembilan 76 peratus.
"Berbanding negeri PN, Kedah paling tinggi, diikuti Terengganu tetapi Kelantan mencatat tahap kepuasan paling rendah iaitu sekitar 58 peratus sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan dapatan kajian berjudul 'Prediksi Akhir PRN, Prestasi PH Unggul, PN Kuasai Jajaran Melayu' di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.
Menurutnya, pengundi kelas pertengahan yang menyokong Pas dilihat berada pada tahap kritikal ekoran prestasi Kerajaan Negeri Kelantan yang kurang memuaskan.
Namun, sokongan itu mula beralih semula kepada parti Islam itu atas faktor tiada alternatif yang disediakan oleh gabungan PH-BN sepanjang tempoh pilihanraya berlangsung.
"Rungutan penduduk tempatan berkait dengan pengurusan, terutama soal air bersih, sisa pepejal dan kebersihan di Kelantan melengkari kelas penengah.
"Mereka yang terdiri daripada penjawat awam, peguam dan jurutera walaupun pegangan politik menyokong Pas tetapi kelompok ini sudah berada pada tahap kritikal.
"Golongan ini juga mahu perubahan tetapi oleh kerana tiada alternatif untuk mengangkat suara teramai itu, mereka akhirnya beralih (kembali) kepada Pas," katanya lagi.
Comments