Presiden MIC patut alu alukan audit forensik terhadap skandal MAIKA, MITRA, MIED
- Suara Keadilan

- Sep 15, 2022
- 2 min read
Updated: Sep 16, 2022

Skandal yang menjejaskan skim bantuan kepada masyarakat India sejak beberapa dekad lalu seharusnya disiasat secara audit forensik untuk mengetahui jejak kewangan dan mengenalpasti apakah peruntukan telah dibelanjakan secara betul.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, R. Yuneswaran, Presiden MIC Tan Sri Vikneshwaran sepatutnya memuji usaha Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri ceramahnya yang meminta satu audit foresik dijalankan ke atas MITRA, MIED, MAIKA dan sebagainya bagi memastikan dana yang didakwa diselewengkan boleh ditemui kembali.
"Presiden MIC sepatutnya mengalu-alukan audit forensik tanpa rasa takut atau pilih kasih sebagaimana dicadangkan oleh Datuk Seri Anwar untuk membuktikan MIC tidak terlibat dalam sebarang rasuah, salah guna kuasa, salah laku, atau penyalahgunaan pembiayaan awam yang berkaitan MITRA, MAIKA, MIED, AIMS termasuk dakwaan terbaru terhadap Penjana Kerjaya yang diketuai oleh Kementerian ditadbir Timbalan Presiden MIC," katanya dalam satu kenyataan.
Yunes mendakwa, Timbalan Presiden Datuk Sri M Saravanan sebelum ini pernah mengakui kemungkinan ada individu dalam kalangan ahli MIC terlibat dalam skandal Penjana Kerjaya yang mempunyai peruntukan RM100 juta.
Penjana diumumkan ketika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuasa, di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara dan menawarkan insentif kewangan.
Bagaimanapun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menggantung bayaran untuk Insentif Pengambilan Pekerja Program PenjanaKerjaya berjumlah RM423 juta kerana didakwa berlaku penyelewengan dan tuntutan palsu yang melibatkan majikan serta penyedia latihan.
Dalam isu MITRA pula, kata Yunes, sebanyak 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan telah diluluskan untuk geran MITRA dari 2019 hingga 2021 dengan peruntukan kira-kira RM203 juta.
"SPRM menganggarkan hampir 60% daripada peruntukan geran diterima oleh syarikat, individu dan bagi tujuan melaksanakan program sosioekonomi tidak mencapai sasaran kumpulan.
"Beberapa individu telah ditahan oleh SPRM namun bagi tindakan lanjut terhadap skandal ini, audit forensik adalah penyelesaiannya.
"Jika MIC bersih daripada dakwaan, mereka harus mengambil cabaran Datuk Seri Anwar dengan menggesa audit forensik dilakukan secara telus bagi membuktikan siapa sebenarnya memperjuangkan masyarakat India.
"Kenapa MIC takut sangat memanggil audit forensik ini," katanya.
Mengenai komentar terbaharu Presiden MIC menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Anwar, dan mempertikaikan kerajaan Pakatan Harapan, Yunes berkata presiden MIC itu perlu bertanya kepada Tun Mahathir mengenai prestasi kerajaan PH.
"Datuk Seri Anwar bukan sebahagian daripada kerajaan kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan kabinet kecuali dilantik sebagai pengerusi Kaukus Parlimen untuk pembaharuan dalam tempoh tersebut.
"Namun begitu, PH mempunyai peruntukan untuk sekolah dan pembangunan (kepada masyarakat India sepanjang 22 bulan memerintah)," katanya lagi.









Comments