Pramugari bertudung: 'Tidak heboh, Kerajaan Madani berjaya laksana syariat Islam'
- Suara Keadilan

- Nov 6, 2024
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tanpa menimbulkan banyak retorik sebagaimana 'perjuangan' Islam Pas, Kerajaan Madani terbukti melaksanakan dasar membenarkan pramugari Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mengenakan tudung kepala sebagaimana dituntut syariat Islam.
Bagi mantan Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri, langkah yang diambil Kerajaan itu merupakan sesuatu yang berhikmah berbanding Pas yang sering membuat heboh mengenai perjuangan Islam mereka namun tidak berdaya melakukannya pada waktu parti itu berada dalam Kerajaan Persekutuan dari 2020 hingga 2022.
''Saya teringat satu ketika dahulu, bekas Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (daripada Pas) mempertikaikan dalam Parlimen bahawa pakaian pramugari sebagai sesuatu yang tidak diambil serius oleh pihak kerajaan.
''Kemudian apabila berlaku langkah 'tebuk atap' oleh Perikatan Nasional (PN) dan Pas menjadi kerajaan, mereka tidak pula cuba perjuangkan perkara tersebut.
''Tapi apabila era Kerajaan MADANI selepas Pilihan Raya Umum 15, kita kembali berusaha merealisasikan hasrat (pemakaian tudung) berkenaan,'' katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Ustaz Firdaus berpendapat, Pas tidak kompeten memerintah kerana parti itu gagal melaksanakan pemakaian tudung bagi kru penerbangan sepanjang 33 bulan dalam kerajaan.
Jelasnya, Pas mungkin tidak mahir untuk meyakinkan sekutu mereka dalam kerajaan PN ketika itu atau mereka memang tidak tahu bagaimana untuk memulakan proses tersebut.
''Mereka nak drastik, tapi ianya sesuatu yang agak mustahil (dilakukan).
''Maknanya mereka ini sebenarnya tak tahu pun macam mana nak merealisasikan cadangan tersebut.
''Jadi mereka tidak berupaya untuk melaksanakan apa yang disuarakan (dihebohkan). Alhamdulillah kerajaan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya melakukannya,'' ujar beliau lagi.
Terdahulu ketika di Dewan Rakyat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa kerajaan tiada sebarang halangan sekiranya pramugari beragama Islam memilih untuk mengenakan pakaian yang menepati kehendak syariat Islam selagi mematuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan tertakluk kepada dasar syarikat penerbangan.









Comments