top of page

PPS Camelia ditutup, mangsa dipindah ke homestay lebih selesa

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 9
  • 2 min read

ree

Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Camelia yang menempatkan mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya mula ditutup malam ini dengan penduduk terbabit dipindahkan ke unit rumah Airbnb yang lebih selesa.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemindahan melibatkan 60 individu daripada 16 keluarga itu dibantu petugas Pejabat Daerah Petaling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


"Kesemua mereka telah ditawarkan perumahan "homestay" melalui kerjasama kerajaan negeri bersama Airnb yang bersetuju menawarkan perumahan percuma selama sebulan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Amirudin berkata bagi penduduk yang berlindung di PPS Masjid Putra Heights, proses pendaftaran homestay mereka bermula malam ini dan dijangka selesai sepenuhnya pada Ahad.


"Keluarga ini turut akan diberikan bantuan makanan asas seperti beras, tepung, dan minyak masak selama sebulan," ujarnya.


Dalam pada itu, dalam sidang media di Shah Alam, Amirudin berkata mangsa di PPS Masjid Putra Heights akan dibenarkan pulang secara berperingkat sehingga akhir minggu ini.


"Rumah yang mengalami kerosakan kecil, penghuninya akan dibenarkan untuk pulang manakala, rumah yang mempunyai kerosakan serius kita akan lihat bagaimana proses seterusnya.


"Akan ada satu sumbangan standard untuk membantu membaik pulih rumah berkenaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemulihan," katanya.


Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dilaporkan terkesan akibat insiden itu, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian manakala 57 terjejas akibat kebakaran namun strukturnya masih utuh.


Polis Selangor semalam memaklumkan setakat ini sebanyak 270 buah rumah telah disahkan selamat diduduki semula, meningkat daripada 151 rumah sebelum ini.


Amirudin berkata Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menyampaikan sumbangan bakul makanan yang boleh membantu mangsa dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan.


Terdahulu beliau memberitahu, sehingga malam semalam, seramai 469 keluarga telah disahkan sebagai penduduk yang terkesan

akibat letupan saluran gas pada Selasa lepas.


Katanya angka itu berbeza dengan jumlah 613 keluarga yang didaftarkan di PPS meliputi penduduk di luar taman perumahan da kampung yang terkesan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page