Kerajaan mengumumkan untuk memotong cukai kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengusaha PMKS akan menikmati potongan cukai kerana masih terkesan akibat pandemik Covid 9.
"Sukacita diumumkan, Kerajaan bersetuju mulai tahun taksiran 2023, kadar cukai PMKS ke atas pendapatan bercukai bagi 150 ribu pertama dikurangkan daripada 17 peratus kepada 15 peratus.
"Pengurangan ini dapat memberi penjimatan sehingga 3 ribu ringgit kepada setiap 150 ribu pembayar cukai PMKS," katanya dalam pembentangan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkata, kerajaan turut menyediakan RM176 juta bagi menaik taraf premis dan kemudahan perniagaan.
Naik taraf premis akan dilakukan antaranya di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA).
''Saya sering tegaskan apa guna kita mempunyai gedung-gedung besar, tetapi rakyat yang hidupnya berniaga kecil-kecilan tidak diambil peduli.
''Ekonomi rakyat perlu dimartabat, keperluan mereka hendaklah dipenuhi. Negara sudah cukup berselirat dan terkenal dengan projek mega dan 16 mercu tanda, tetapi saya juga mahukan negara terkenal dengan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah," katanya.
Comments