Potensi pelaburan direalisasikan 84.2%, 1,849 projek dilaksanakan
- Suara Keadilan

- Sep 5
- 2 min read

Meskipun kerajaan kerap kali menyatakan Malaysia menerima potensi pelaburan asing yang besar namun pembangkang dan warga net sering kali mengkritik bahawa hal itu sengaja diperbesar besarkan.
Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan, potensi pelaburan adalah janji awal sesuatu pelaburan yang akan masuk, sebelum modal dibawa dan pembinaan kilang diluluskan di Malaysia.
Katanya, hasil potensi pelaburan yang dijanjikan terbukti apabila sebanyak 84.2 peratus berjaya direalisasikan sehingga Julai 2025, melibatkan 1,849 projek di seluruh negara.
"Masih ada lagi yang belum memahami (atau buat tidak faham) potensi pelaburan walaupun telah diperjelaskan. Malah ada yang mempertikai dan memperkecilkan usaha kerajaan membawa pelaburan ke Malaysia bahkan ada juga yang menghasut dan menanam kebencian," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, potensi pelaburan adalah indikator penting yang menunjukkan tahap keyakinan pelabur terhadap Malaysia, dan kerajaan telah membuktikan keupayaan menterjemahkan komitmen tersebut kepada projek sebenar yang memberi impak langsung kepada rakyat.

"Alhamdulillah, kerajaan telah berjaya merealisasikan potensi pelaburan ini dengan cemerlang.
"Data menunjukkan sehingga Julai 2025, potensi pelaburan yang telah berjaya direalisasikan mencapai 84.2% atau 1,849 projek telah dilaksanakan. Ini pencapaian yang amat membanggakan," katanya.
Dr Zulkifli menjelaskan, dari tahun 2023 hingga suku pertama 2025, sebanyak 2,198 projek perkilangan telah diluluskan menerusi pelaburan, membuktikan ekosistem ekonomi negara kekal kukuh dan terus berkembang.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada pelaburan tambahan RM30 bilion oleh Infineon Technologies yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Jerman.
"Infineon Technologies telah memulakan tambahan pelaburan sebanyak RM30 bilion untuk pembinaan kilang 200mm Silicon Carbide (SiC) Power Fab terbesar di dunia di Kulim Hi-Tech Industrial Park, Kedah.
"Fasa pertama kilang ini telah siap dan mula beroperasi," katanya.
Pelaburan mega tersebut dijangka melonjakkan Malaysia sebagai hab pengeluaran semikonduktor global, sekali gus mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan bergaji tinggi serta merancakkan ekonomi setempat melalui penglibatan lebih 139 vendor tempatan.
Dr Zulkifli menegaskan, rakyat perlu memahami bahawa hasil pelaburan memerlukan masa untuk memberikan kesan sepenuhnya kepada ekonomi negara.
Beliau yang mempunyai PhD dalam Kewangan Islam dari Durham University, United Kingdom dan merupakan Ahli Penasihat Syariah di beberapa institusi kewangan Islam tempatan dan antarabangsa berkata, potensi pelaburan memakan masa dan memerlukan daya ketahanan untuk melihat hasilnya.
"Perubahan sememangnya memakan masa untuk dirasai. Ia bukan berlaku semalaman.
"Ia memakan masa, memerlukan 'endurance' daya ketahanan, kebijaksanaan, eko-sistem mesra pelabur yang menyeluruh , kestabilan politik dan keamanan serta mesti dilakukan dengan penuh hikmah," ujarnya lagi.









Comments