Oleh: Akmal Manaf
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, melihat terdapat potensi untuk bekerjasama dengan kumpulan Alibaba dalam bidang ekonomi kitaran melalui platform Xianyu.
Xianyu adalah salah satu aplikasi terkenal di China yang menjual barangan terpakai dengan harga yang munasabah.
Menurut Dr Zaliha, penjualan barangan terpakai di platform itu dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon.
"Ini merupakan potensi ‘low-hanging fruit’ yang boleh diteroka segera demi kelestarian bandar di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
"InsyaAllah, hubungan ini dapat membawa manfaat kepada usaha kami dalam mempertingkatkan inovasi dan kecekapan di Wilayah Persekutuan," katanya menerusi satu catatan di Facebook rasminya.
Beliau kini dalam rangka lawatan rasmi ke China selama enam hari bermula semalam.
Terdahulu, beliau dan pasukannya telah mengunjungi ibu pejabat Alibaba, sebuah syarikat yang diasaskan pada tahun 1999 oleh Jack Ma.
Dr Zaliha menyifatkan, dengan inovasi berterusan seperti platform Xianyu yang memacu pengurangan pelepasan karbon sekitar 6.594 juta tan metrik pada tahun fiskal 2024, Alibaba terus menerajui teknologi dan kelestarian digital.
Dalam perbincangan itu, beliau memaklumkan pihaknya turut meninjau pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) kumpulan itu, termasuk Alibaba’s Rural Ambassadors Program.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, tinjauan inisiatif itu bertujuan meningkatkan literasi digital di kawasan luar bandar.
"Ia merupakan satu peluang kerjasama yang menarik untuk Jabatan Wilayah Persekutuan.
"Selain itu, penerapan Alibaba Cloud dalam perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap juga membuka ruang untuk kemajuan transformasi digital yang lebih besar," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Sekijang.
Commentaires