'Poster kutuk era PMX Khazanah lemah karut, aset meningkat RM105 bilion'
- Helmi Mohd Foad

- 2 hours ago
- 2 min read

Poster tular berkaitan prestasi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) merupakan manipulasi bermotif politik bagi memecah-belahkan perpaduan kerajaan serta menggambarkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lemah.
Aktivis Pakatan Harapan, Sham Ghaz berkata, poster yang membandingkan nilai aset bersih Khazanah antara pentadbiran bekas PM Najib Razak dan tempoh selepas itu sengaja mengabaikan faktor utama yang menjejaskan ekonomi global termasuk pandemik Covid-19 antara 2020 hingga 2022 pada era pemerintahan Perikatan Nasional, yang menyaksikan kemerosotan Khazanah.
"Poster itu sengaja sorok impak pandemik Covid-19 yang melumpuhkan ekonomi dunia. Membandingkan era Najib dengan era krisis global (era PMX) adalah tidak adil," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sham Ghaz, kerajaan pimpinan Anwar ketika ini sedang berada dalam fasa pemulihan ekonomi dan penstrukturan semula institusi strategik negara termasuk Khazanah.

Beliau berkata nilai aset Khazanah menunjukkan trend pemulihan apabila meningkat daripada RM84 bilion pada 2023 kepada RM105 bilion pada 2025.
"Ini kenaikan realistik, bukan angka khayalan," katanya sambil merujuk laporan kewangan Khazanah.
Beliau turut mendakwa pendekatan semasa Khazanah lebih memberi fokus kepada manfaat langsung buat rakyat melalui pembayaran dividen lebih tinggi kepada kerajaan bagi membantu menampung pelbagai inisiatif bantuan dan subsidi rakyat.
"Zaman sekarang Khazanah bukan sekadar simpan aset, tapi bagi hasil terus. Dividen kepada kerajaan digandakan kepada RM2 bilion untuk tampung bantuan rakyat seperti STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan subsidi," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempertahankan langkah kerajaan memperketat tadbir urus serta audit pelaburan syarikat berkaitan kerajaan bagi mengelakkan ketirisan dana awam.
"Tiada lagi bailout kroni. PMX arahkan audit ketat seperti kes Fashion Valet untuk pastikan duit rakyat tidak hangus dalam pelaburan sampah," katanya.
Selain itu, beliau berkata Khazanah juga menjadi antara syarikat berkaitan kerajaan yang memperkenalkan dasar gaji minimum RM3,000 sebagai usaha meningkatkan taraf hidup pekerja bawahan.
Sham Ghaz menegaskan poster berkenaan hanya menggunakan “matematik atas kertas”, sedangkan kerajaan hari ini memberi tumpuan kepada kesan ekonomi yang dapat dirasai rakyat.
"Poster itu guna matematik atas kertas, tapi Team PMX guna fakta di poket rakyat," katanya.




Comments