Polity sambut baik Pelan Tindakan Nasional Wanita, Keamanan, Keselamatan
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Badan pemikir polisi awam, Polity menyambut baik Pelan Tindakan Nasional Wanita, Keamanan dan Keselamatan (WPS) yang pertama di negara yang ini sambil menegaskan ia mampu memperkukuh peranan wanita sebagai tonggak utama keamanan, keselamatan dan pembangunan inklusif di rantau ini.
Pengerusi Eksekutif Polity, Nurul Izzah Anwar berkata, Polity berhasrat untuk mengakar dan memasyarakatkan agenda WPS agar benar-benar merentasi seluruh lapisan komuniti termasuk mereka yang kurang berupaya, golongan terpinggir serta warga yang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.
"Hanya melalui keterlibatan menyeluruh ini, kepimpinan wanita dapat menyumbang ke arah menamatkan konflik, meredakan krisis, dan menghentikan peperangan bernuansa genosid," katanya dalam kenyataan hari ini.
Agenda Women, Peace and Security (WPS) berakar daripada Resolusi 1325 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR 1325) yang diluluskan pada 2000.
Pelancaran Pelan Tindakan Nasional WPS oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini menjadi titik tolak bagi Malaysia menzahirkan komitmen terhadap kerangka tersebut di peringkat serantau.
Resolusi itu menekankan keperluan meningkatkan penglibatan wanita dalam pencegahan dan penyelesaian konflik, proses perdamaian serta usaha pemulihan pasca konflik.
Ia turut menuntut perlindungan yang lebih baik terhadap wanita dan kanak-kanak yang sering menjadi mangsa paling terkesan akibat peperangan.
Nurul Izzah menegaskan pelan ini perlu dilaksanakan dengan tuntas melalui penyertaan semua pihak.
"Hanya dengan menggerakkan kepimpinan wanita secara menyeluruh, rantau ini dapat melindungi masa depan daripada krisis, konflik dan peperangan yang mengancam keselamatan bersama," ujar beliau.
Beliau menegaskan keamanan tidak pernah wujud sebagai jaminan mutlak sebaliknya ia harus sentiasa dipelihara dengan komitmen berterusan.
"Keamanan tidak pernah wujud sebagai jaminan sebaliknya ia harus sentiasa dipelihara dan dalam setiap langkah perjalanan ini, wanita mesti menjadi nadi yang menggerakkannya," tegas beliau.
Justeru itu, beliau berkata persoalan wanita, keamanan dan keselamatan akan menjadi fokus utama dalam Persidangan Kepimpinan Wanita Asia Tenggara 2025: Wanita, Keamanan & Keselamatan yang bakal dianjurkan badan pemikir itu pada 30 September ini.
Persidangan itu akan menghimpunkan tokoh-tokoh serantau termasuk Dwi Rubiyanti Kholifah, Prof Tan Sri Jemilah Mahmood dan Dr Amina Rasul-Bernardo, yang tersenarai antara 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia.









Comments