top of page

Kerajaan MADANI perkasa perlindungan mangsa keganasan rumah tangga

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mempergiat usaha advokasi termasuk berbentuk fizikal bagi menangani isu keganasan rumah tangga (KRT) yang terus membimbangkan.


Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri (gambar) berkata, KPWKM kini lebih agresif dalam memperluas program kesedaran dan keselamatan, termasuk melalui penyertaan Malaysia dalam agenda Women, Peace and Security (WPS).


"Kita akan lakukan program yang lebih berbentuk fizikal untuk melindungi dan untuk mereka sendiri mengetahui macam mana cara kalau berlaku sesuatu terhadap wanita," katanya dipetik.


Pada sidang media tersebut beliau turut menggesa mangsa supaya tampil mendapatkan bantuan tanpa rasa takut, memandangkan pelbagai kemudahan telah disediakan kerajaan termasuk rumah perlindungan dan talian bantuan.


"Antara cabaran utama adalah apabila mangsa menarik balik laporan polis yang telah dibuat. Janganlah takut kerana KPWKM ada tempat untuk perlindungan," ujarnya.


Beliau sementara itu menegaskan, antara langkah intervensi utama diwujudkan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ialah bantuan segera kepada mangsa, termasuk keperluan kebajikan dan perlindungan.


Sementara, Jabatan Pembangunan Wanita turut menyediakan platform seperti Pusat Sokongan Wanita bagi memberi panduan dan khidmat nasihat kepada mangsa.


"Talian hotline 15999 disediakan untuk membantu mangsa, termasuk sokongan dalam pelbagai bahasa.


"KPWKM juga akan mengemukakan cadangan kepada agensi berkaitan bagi memperkukuh aspek perundangan dan mempercepatkan penguatkuasaan kes KRT," jelasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page