top of page

Politik perkauman gagalkan dakwah kepada bukan Islam - Jufitri Joha

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 1 day ago
  • 2 min read

Politik menakut-nakutkan masyarakat terhadap Islam dan memainkan sentimen perkauman hanya akan menjauhkan orang bukan Islam daripada memahami agama Islam sekaligus menggagalkan usaha dakwah, kata Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Senator Jufitri Joha (gambar).


Beliau berkata, pendekatan yang lebih berkesan ialah menerangkan ajaran Islam dengan hikmah, akhlak yang baik dan menunjukkan contoh kepimpinan yang berintegriti, bukannya membina persepsi bahawa orang bukan Islam merupakan ancaman kepada orang Melayu dan Islam.


"Kita kena dekatkan orang bukan Islam dengan Islam, bukan menjauhkan mereka. Ramai yang tidak memahami Islam kerana kejahilan, jadi tugas kita ialah menerangkan kepada mereka dengan hikmah, bukannya memusuhi mereka," katanya menjawab seoalan hadirin ketika ceramah kelompok di Ulu Sepri, malam tadi.


Jufitri berkata, kempen politik yang menggambarkan orang bukan Islam sebagai ancaman kepada orang Melayu tidak membawa manfaat kepada dakwah kerana ia hanya menimbulkan prasangka dan menghakis peluang masyarakat memahami nilai sebenar Islam.


"Kalau kita terus meminggirkan orang bukan Islam, mereka akan semakin jauh daripada Islam. Sebaliknya, kalau orang Melayu Islam kuat, berintegriti dan menunjukkan contoh yang baik, mereka akan lebih mudah menghormati dan memahami Islam," katanya.


Beliau turut berkongsi pengalamannya di United Kingdom melihat puluhan individu memeluk Islam setiap minggu meskipun masyarakat Islam di negara itu adalah minoriti dan berdepan pelbagai cabaran dan diskriminasi.


Kata Jufitri, pengalamannya di London ketika menyambung pengajian membuktikan masyarakat Islam di negara itu memilih pendekatan dakwah secara berhikmah walaupun berdepan pelbagai provokasi dan salah faham terhadap Islam.


"Islam berkembang sekiranya umat Islam menampilkan akhlak yang baik serta memberi penjelasan secara berhemah.


"Islam tidak berkembang melalui kebencian, tetapi melalui akhlak dan penerangan. Apabila masyarakat melihat contoh yang baik, mereka akan lebih terbuka untuk memahami Islam," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan turut membuktikan syiar Islam terus diperkasakan tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk.


Menurutnya, kerajaan negeri terus menyokong institusi agama melalui bantuan kepada madrasah, maahad tahfiz, program ilmu serta peningkatan peruntukan berkaitan Islam, di samping memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan keharmonian antara kaum.


"Peruntukan Islam terus meningkat, madrasah dan maahad tahfiz dibantu, program ilmu diteruskan dan masjid terus dimakmurkan. Jadi, dakwaan bahawa Islam sedang terancam tidak berasas. Yang penting ialah kita terus menerangkan fakta dan menunjukkan contoh pentadbiran yang baik," katanya.


Jufitri turut berkata, komitmen kerajaan Negeri Sembilan dalam memperkasa syiar Islam bukan sekadar retorik, malah diterjemahkan melalui sokongan berterusan kepada institusi pendidikan agama di Rembau dan Rantau.


"Insya-Allah minggu depan kita akan bersama-sama menjayakan Sambutan 80 Tahun Madrasah Syeikh Ibrahim Kampung Bongek, iaitu pondok tertua yang masih beroperasi di Rembau.


"Kita dokong program agama dan kita bantu habis-habisan untuk mengangkat institusi agama yang telah lama berjasa kepada masyarakat," katanya.


Beliau berkata, selain Madrasah Syeikh Ibrahim Kampung Bongek, kerajaan turut memberi perhatian kepada institusi tahfiz di kawasan Rantau sebagai usaha memperkukuh pendidikan Islam.


"Kita juga membantu Maahad Tahfiz As-Salihin di Rantau. Alhamdulillah, Perdana Menteri sendiri telah mengumumkan peruntukan kepada kedua-dua madrasah ini.


"Bantuan itu diumumkan secara terbuka dan saya sendiri telah turun padang ke kedua-dua madrasah untuk menyampaikan sokongan serta membantu mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page